SELANGOR  TOT United berjaya menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri apabila menjinakkan Pahang Rangers 5-4 dalam aksi suku akhir pertama Malaysia Futsal Cup (MFC) di Stadium Panasonic Shah Alam.

Biarpun beraksi di laman lawan, Pahang Rangers yang segar dengan kejuaraan Liga Premier Futsal Kebangsaan baru-baru ini terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mahadir Harahap Khairuddin.

Enggan mengalah, Selangor TOT United memperkemas gerakan dan berjaya memperoleh dua gol masing-masing menerusi sumbangan Guntur Sulistyo serta Wan Abdul Raziq.

Seakan selesa dengan kedudukan tersebut, pertahanan Pahang Rangers bijak mencuri peluang menerusi kealpaan benteng Selangor untuk menyumbat masuk gol penyamaan menjadikan kedudukan terikat 2-2.

Beberapa minit sebelum perlawanan separuh masa tamat, Helio Neto muncul pemisah dengan jaringan ketiga Selangor TOT United bagi mendahului pelawat 3-2.

Sebaik babak kedua bermula, Selangor TOT United enggan menoleh ke belakang apabila berjaya menambah dua jaringan menerusi Helio Neto dan Guntur Sulistyo bagi menjarakkan kedudukan menjadi 5-2.

Bagaimanapun, Tok Gajah enggan mengalah apabila mereka berjaya merapatkan jurang menerusi Ahmad Harith Naim bagi menjadikan kedudukan 3-5.

Sergio Jamur kembali menjadikan jurang hanya ditinggalkan dengan satu gol apabila dia berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada akhir permainan.

Keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Selangor Tot United berjaya membawa bekalan tipis 5-4 menjelang suku akhir kedua di Kompleks Sukpar, Pahang.