SKUAD futsal Pahang Rangers FC mengubati kekecewaan apabila tidak berjaya melangkah ke final Malaysia Futsal Cup (MFC) 2024, dengan kejayaan merebut tempat ketiga pada perlawanan yang berlangsung petang Ahad.
Aksi penentuan tempat ketiga dan keempat antara Pahang Rangers FC dan KL City FC menerima sambutan baik oleh penyokong tempatan, sekali gus memberi tonik tambahan buat pemain-pemain kendalian Luis Fonseca Cilleros di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Separuh masa pertama yang agak sengit apabila kedua-dua pasukan giat mempamerkan aksi bersungguh di dalam gelanggang.
Tidak lama kemudian, keadaan bertambah tegang apabila tonggak KL City FC, Hussain Khademi berhasil melakukan jaringan pembukaan pada minit ke-10 perlawanan sekali gus memberi amaran buat Pahang Rangers.
Tidak hanya berduduk diam, pemain kebangsaan Ahmad Harith Naim Mohd Nasir menggeligat mencari peluang untuk membocorkan gawang gol KL City FC dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-20 separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, wira yang sama iaitu Ahmad Harith Naim kembali menghangatkan aura di Axiata Arena apabila sepakannya menuju tepat ke gawang gol KL City dan menewaskan penjaganya Muhamad Arif Alias.
Satu lagi jaringan buat Pahang Rangers FC hadir menerusi Tuah Eizlan Aminudin sekali gus menjadikan keputusan 3-1 ketika itu agak selesa buat pasukan mereka.
Namun, satu kesilapan yang dilakukan di hadapan gawang gol Pahang Rangers FC telah memberi kelebihan buat KL City untuk mengambil sepakan penalti dan dimaanfatkan sebaiknya oleh Dodie Al Fareq.
Pahang Rangers kemudian tampak masih belum puas dengan keputusan semasa, dan akhirnya menambah jaringan berbaki 30 saat sebelum permainan berakhir menerusi Muhammad Nazreen Saudi.
Keputusan 4-2 berakhir di Axiata Arena, Bukit Jalil dan membuktikan Pahang Rangers FC layak menduduki tempat ketiga Malaysia Futsal Cup 2024.