PENGENDALI Pahang Rangers FC, Gerard Casas Ullastre mengakui faktor kepenatan merupakan antara sebab skuad kendaliannya terpaksa akur dengan kekalahan tipis 4-5 kepada pasukan Selangor TOT United dalam aksi Malaysia Futsal Cup (MFC) yang berlangsung sengit pada Sabtu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Panasonic Shah Alam itu, pasukan Pahang Rangers FC berjaya mengimbangi corak serangan yang dipamerkan Selangor TOT United meskipun pemain masih belum cergas sepenuhnya.
Gerard turut memuji penjaga gol Selangor TOT United kerana berjaya menggagalkan beberapa percubaan merbahaya dari pasukan mereka.
“Kita tahu kita akan bergelut bermain pada hari ini dengan kepenatan, tetapi bagi saya kita tidak bermain lebih teruk atau lebih baik dari mereka, mungkin kedua-dua pasukan sama tahap.
“Cuma mereka gunakan peluang mereka dengan lebih baik daripada kami, dan penjaga gol mereka juga beraksi dengan begitu baik,” jelasnya ketika ditemubual selepas tamat perlawanan suku akhir pertama Futsal Piala Malaysia 2023 di Stadium Panasonic Shah Alam.
Pada aksi timbal balik pada Rabu, Gerard berharap agar penyokong terus berada di belakang pasukan bagi mengharungi 40 minit yang dijangka penuh debaran di Sukpar, Pahang.
“Para penyokong sudah membantu kami sejak sekian lama, tanpa mereka tak mungkin kami jadi juara MPFL, mereka buatkan pasukan lain sukar bermain di Sukpa.
“Saya harap sokongan mereka dan keputusan perlawanan hari ini akan cukup untuk perlawanan kedua nanti,” ujarnya.