SEBUAH kelab dari Selangor, Shah Alam City FC dikatakan akan beraksi di Liga Super bagi menggantikan posisi Petaling Jaya (PJ) City yang menarik diri.
Kelab itu kelak dikhabarkan akan dikendalikan oleh bekas pemain Selangor yang pernah memenangi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Malaysia dengan menjaringkan 15 gol.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Khamis mengesahkan belum menerima sebarang permohonan pengambilalihan kelab berkenaan.
“MFL belum meluluskan sebarang pengambilalihan buat masa ini.
“Terbaik untuk PJ City memaklumkan kepada anda tentang rundingan mereka dengan bakal pembida,” ujarnya sekaligus menepis spekulasi yang menjadi bualan para peminat.
PJ City menjadi satu-satunya kelab yang 100 peratus menggunakan barisan pemain tempatan tanpa tonggak import dengan mereka menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kesembilan.
Terdahulu, Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal memberitahu pihaknya terbuka untuk berbincang sekiranya terdapat mana-mana kelab yang berminat untuk membeli pasukan tersebut.
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi pemilik baharu termasuklah mereka perlu mengekalkan nama PJ City itu sendiri.