MALAYSIAN Football League (MFL) dengan kerjasama rakan penaja rasmi Liga Malaysia, Aeon Big menyampaikan sumbangan kepada 150 pelajar daripada tiga buah sekolah dalam Program Back to School 2024 yang diadakan di pasaraya Aeon Big Kepong.
Program yang turut mendapat kerjasama dan sokongan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu menyaksikan semua pelajar yang terlibat menerima baucar Aeon Big bernilai RM200 setiap seorang untuk kegunaan membeli barangan kelengkapan persekolahan.
Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut amat menghargai keprihatinan kedua-dua pihak dengan menganjurkan program seperti ini sambil mengharapkan lebih ramai pihak khususnya syarikat-syarikat korporat untuk tampil membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Saya gembira kerana turut dijemput hadir untuk menyaksikan penyaluran bantuan kepada 150 anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Setiap penerima yang dikenal pasti oleh sekolah masing-masing telah diberi bantuan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30,000 untuk program ini.
“Terima kasih kepada MFL atas sumbangan yang diberikan bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam persediaan anak-anak untuk sesi persekolahan 2024 yang baharu,” katanya.
Sementara itu Pengerusi MFL, Datuk Ab Ghani Hassan pula berkata, ini kali pertama MFL menganjurkan program Back to School dengan kerjasama Aeon Big sebagai usaha untuk mendekatkan lagi dengan masyarakat setempat.
“Bagi pihak MFL, ini adalah satu program yang cukup Istimewa di mana kami dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat setempat. Pastinya program ini memberikan mesej yang baik di mana hubungan kami dan rakan penaja bukan sekadar di pentas Liga Malaysia malah kerjasama ini membolehkan kami bergerak seiring dalam melaksanakan tanggung jawab sosial,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu adalah ahli Lembaga Pengarah MFL termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Stuart Ramalingam serta Pengarah Urusan Aeon Big, Sheikh Faroukh Sheikh Mohamed.