MALAYSIAN Football League (MFL) telah mengenakan tindakan denda terhadap Selangor FC selepas menarik diri dari perlawanan Piala Sumbangsih 2024 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024.

Tindakan itu diambil atas kata sepakat semua Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas sesi mesyuarat dan diumumkan secara rasmi pada Selasa menerusi kenyataan media di semua laman media rasmi MFL.

Selangor FC dikenakan empat tindakan termasuk denda wang tunai, bayaran ganti rugi komersil, pemotongan tiga mata dan aksi tanpa penyokong untuk perlawanan bertemu JDT di laman sendiri.

“Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan Mesyuarat bagi membincangkan kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super pada 10 Mei 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.

“Selepas mengambil pertimbangan pada setiap faktor kes itu, Ahli Lembaga Pengarah yang menghadiri mesyuarat itu sebulat suara membuat keputusan berikut;

1. Denda sebanyak RM100,000.

a. Wang denda ini akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

2. ⁠Bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL.

a. MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

3. Pemotongan tiga (3) mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

4. Perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan dimainkan tanpa penonton.

a. Operasi perlawanan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan Selangor FC dengan syarat kemasukan wakil-wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan.

Kenyataan media Selangor FC yang membuat keputusan tidak hadir ke Piala Sumbangsih

Terdahulu Selangor FC mengambil keputusan untuk tidak hadir pada perlawanan pembukaan musim itu atas alasan keselamatan selepas pemain tonggak, Faisal Halim disimbah asid dalam perbuatan khianat yang berlaku di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya.