LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi badan bebas First Instance Body (FIB) telah mengesahkan bahawa pasukan Kedah Darul Aman FC telah berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan gaji.

Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, juara tiga kali Liga Malaysia itu berjaya menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun 2023 pada 18 April lalu, dua hari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh FIB.

Kesemua dokumen pembayaran yang melibatkan kesemua pemain dan pegawai pasukan Kedah Darul Aman FC telah dihantar dan disemak oleh FIB.

“Hanya dua pemain sahaja lagi yang belum menerima pembayaran iaitu Lee Tuck dan Jonathan Balotelli.

“Hal ini disebabkan perbicaraan kes tuntutan oleh kedua-dua pemain ini masih berjalan di peringkat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC),” katanya dalam kenyataan.

Dengan pengesahan ini, penyokong Kedah Darul Aman FC mampu menarik nafas lega apabila mampu melihat pasukan kesayangan mereka bermain di liga tertinggi Malaysia bagi musim 2024/25.

 

Kedah D.A. menamatkan pra musim mereka di Terengganu semalam dengan kekalahan 3-0 kepada Penang FC. (Sumber Gambar: FB KDA)

Kelab bimbingan Nafuzi Zain itu baru sahaja mengharungi perlawanan pra musim di Terengganu dan mereka akan meneruskan pra musim mereka dengan perlawanan persahabatan menentang pasukan Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman pada 24 April ini.

Pasukan dari utara tanah air itu sebelum ini terlepas tarikh akhir pembayaran yang ditetapkan oleh FIB pada 31 Mac lalu.

Ekoran itu, pasukan Sang Kenari dihukum dengan pemotongan tiga mata dan denda sebanyak RM 50,000 dan diberikan lanjutan terakhir sehingga 20 April untuk menyelesaikan baki tunggakan gaji mereka untuk musim 2023 atau lesen kebangsaan mereka akan ditarik dan mereka tidak dibenarkan untuk bermain di Liga Super.