SAINGAN Liga Super musim 2024-2025 sudah melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu, sekali gus menyaksikan penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) di beberapa lokasi perlawanan, kecuali di Stadium MP Temerloh dan di Stadium Likas, Sabah.

Sudah tentu faktor masalah teknikal akan membelenggu sistem VAR di Malaysia, dan perkara ini sendiri sudah dijangka lebih awal oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sendiri.

Bagaimanapun, Presiden MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan menegaskan bahawa pihaknya akan cuba menangani isu teknikal yang dihadapi di beberapa venue perlawanan Liga Super musim ini.

Presiden MFL pandang berat isu masalah teknikal VAR.

“Ada masalah teknikal di Temerloh dan Sabah pada perlawanan lepas, dan ini merupakan perkara yang kita sudah jangka. Benda ini tidak terjadi waktu kita buat ujian pramusim lalu, tetapi waktu liga kita bermula.

“Komen-komen yang mungkin tidak faham mengenai VAR ini satu perkara biasa. Datuk Stuart Ramalingam sendiri telah menyatakan pada awalnya, bahawa ada kemungkinan berlakunya isu teknikal dan sebagainya.

Aksi Liga Super 2024-2024 berlangsung pada Sabtu lalu.

“Jadi, rungutan daripada pihak penonton dan penyokong bola sepak negara kita ini adalah perkara biasa. Tetapi yang penting bagi saya, MFL akan cuba menangani masalah teknikal sistem VAR ini,” ujar beliau ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Terdahulu, ketika FLASH SUKAN membuat liputan pada aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim FC pada Sabtu, sistem VAR tidak dapat diguna pakai atas faktor teknikal, dan sudah dimaklumkan sebelum perlawanan bermula.