MALAYSIAN Football League (MFL) meluluskan pindaan perlawanan antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kedua-dua kelab itu telah bersetuju mencapai kata sepakat menunda aksi tersebut kepada satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan selepas perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya menerima permohonan daripada KDA pada 12 Mei 2022 bagi meminda perlawanan bertemu JDT yang sepatutnya berlangsung pada 19 Jun 2022 kepada satu tarikh baharu.

MFL memajukan permintaan KDA kepada JDT dan MFL telahpun menerima maklum balas positif daripada JDT yang menyokong pertukaran jadual untuk membolehkan KDA FC lebih banyak masa untuk persiapan yang diperlukan oleh kelab sebelum turun bermain dalam saingan Kumpulan G Piala AFC dan sekali gus berharap skuad Sang Kenari itu dapat menggalas cabaran selaku kelab Malaysia di peringkat Asia dan melakukan yang terbaik dalam pertandingan tersebut

Justeru, Stuart menegaskan bahawa MFL akan sentiasa memberikan bekerjasama kepada kelab-kelab iaitu JDT dan KDA termasuk Kuala Lumpur City FC yang bermain di kejohanan kompetitif Asia seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

Sebagai rekod, JDT akan bertemu Urawa Red Diamonds dalam aksi 16 pasukan terbaik ACL (18 Ogos 2022) sementara KDA dan KL City masing-masing bermain di Kumpulan G dan Kumpulan H bagi kempen Piala AFC.

Namun tarikh perlawanan yang dipinda akan ditentukan hanya selepas keputusan peringkat kumpulan Piala AFC nanti.