SEPERTI yang dinantikan, akhirnya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan memperkenalkan peraturan sistem baharu iaitu Financial Fair Play (FFP), menjelang saingan Liga Malaysia musim 2024-2025.
Satu suntikan aura positif ini diumumkan sendiri oleh Presiden MFL, Datuk Abd. Ghani Hassan yang tampil dengan inisiatif baharu dalam menangkis isu kewangan dan terutamanya masalah gaji daripada semakin berlarutan dalam industri bola sepak tempatan.
Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang sedang diaplikasikan telah menerima beberapa kesan yang tidak efektif, justeru itu, pihak MFL akan mengguna pakai peraturan FFP yang dilihat mampu mengawal selia masalah kewangan dalam setiap pasukan.
“MFL akan lancarkan juga FFP. Sebelum ini kita (Liga Malaysia) ada HEP yang diambil daripada luar dan digunakan bulat-bulat maka ia tidak sesuai.”
“FFP kali ini adalah seperti mana yang dicadangkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), dan kita akan mengikut tahap kemampuan liga kita.
“Setiap pasukan akan mengumumkan jumlah bajet mereka bagi satu musim termasuklah penaja yang masuk dan akan dihantar ke MFL. Sebagai contoh, sekiranya bajet pasukan sekitar RM10 juta, maka mereka hanya boleh berbelanja sekitar RM8 juta sahaja.
“Baki RM2 juta itu akan disimpan untuk bayaran pengurusan dan sebagainya. MFL tidak membenarkan dana RM10 juta dan dibelanjakan semuanya, namun akan ada simpanan pada peringkat kelab itu sendiri,” tegas Abd. Ghani ketika ditemui di Hotel Dorsett Grand Subang Jaya.
Artikel Berkaitan: TMJ cadang pada FAM dan MFL laksanakan ‘Financial Fair Play’
Terdahulu, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), TMJ telah berbunyi mengenai peraturan FFP yang wajar dilaksanakan dalam Liga Malaysia.
Saranan tersebut susulan isu kewangan yang membelenggu beberapa kelab bola sepak liga tempatan, dan penggunaan FFP diharapkan dapat mengatasi perbelanjaan melebihi bajet oleh pasukan-pasukan bola sepak ini.
Pihak MFL akan mengadakan satu sesi sidang media rasmi untuk mengumumkan perancangan mereka dalam merangka projek FFP yang akan diguna pakai di Liga Malaysia pada musim ini.