LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa mereka akan membuka semula permohonan lesen luar biasa (extraordinary license) kepada semua kelab M3 Liga Bolasepak Amatur (AFL) untuk memohon lesen Liga Super 2024-2025.
Langkah proaktif yang dilakukan MFL ini diambil susulan keputusan First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.
Permohonan lesen luar biasa ini dibuka semula kepada kelab-kelab AFL M3 berdasarkan kepada Perkara 4.5, 4.6 dan Annexe III Peraturan Pelesenan Kelab MFL.
“Ketiadaan Kelantan FC menyaksikan kekosongan slot ke-14 bagi saingan Liga Super musim ini.
“Justeru MFL telah meminta semua kelab M3 AFL yang berminat untuk mengemukakan permohonan lesen luar biasa ini pada 18 Januari 2024 dan proses penyerahan semua dokumen menerusi AFC CLAS akan bermula 19 Januari 2024 hingga 2 Februari 2024,” jelas MFL dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan dalam laman media rasmi mereka hari ini.
Tambahnya, keperluan kriteria untuk mengisi slot Liga Super ini masih sama dengan kriteria permohonan luar biasa M3 AFL dan sub-kriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.
MFL akan memilih hanya satu kelab terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk mengisi slot ke-14 selepas ketiadaan Kelantan FC.
Maka, pastinya semua peminat bola sepak tempatan tertunggu-tunggu keputusan seterusnya tentang pasukan manakah yang bakal beraksi di pentas Liga Super musim ini.