PENGELOLA liga Malaysian Football League (MFL) tidak mempunyai rancangan untuk merombak jadual Liga Malaysia 2024-25 bagi memberi laluan kepada skuad Harimau Malaya beraksi di Piala ASEAN 2024 atau dahulunya lebih dikenali sebagai Piala AFF Mitsubishi Electric.

Kejohanan dwitahunan anjuran Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang melibatkan 10 skuad kebangsaan Asia Tenggara itu dijadualkan berlangsung dari 23 November hingga 21 Disember dan penyertaan skuad senior negara menjadi tanda tanya atas beberapa faktor.

Ini kerana, tarikh itu berada di luar Kalendar Antarabangsa FIFA sekali gus ianya tidak mewajibkan kelab-kelab untuk melepaskan para pemain mereka ke kem kebangsaan sebagai persiapan ke kejohanan tersebut.

Skuad kebangsaan ketika aksi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022

Selain itu, ianya turut bertindih dengan dua perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang disertai dua wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berpendapat adalah lebih baik sekiranya semua Persatuan-Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Asean dan AFF duduk semeja bagi membincangkan tarikh penganjuran yang baharu bagi saingan Piala ASEAN.

“Dalam percaturan liga pada masa ini, tidak, tetapi kita mesti ada perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai perkara ini dengan tarikh-tarikh yang dikeluarkan oleh AFF.

JDT bakal mewakili Malaysia di Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25

“Sebagaimana semua tahu, tarikh yang dikeluarkan AFF berlanggar juga dengan tarikh kejohanan kelab AFC iaitu Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dimana dua pasukan kami iaitu JDT dan Selangor bersaing.

“Perkara ini perlu saya bincangkan dengan FAM untuk memastikan komunikasi bersama dengan AFF dapat kita selaraskan kerana masalah ini bukan masalah Malaysia sahaja tetapi masalah serantau dimana pasukan-pasukan yang bertanding di dalam ACLE dan juga ACL2 juga bersaing.

“Jadi, harapnya AFF ada perbincangan dengan persatuan masing-masing dan satu pendekatan dan mungkin tarikh baharu yang boleh disesuaikan dengan tarikh-tarikh liga boleh ditentukan,” katanya ketika ditemui di Program Demi Rimba Kita 2024 pada Khamis.

Selangor FC mewakili Malaysia di Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25

Saingan Liga Malaysia 2024-25 akan membuka tirainya pada 10 Mei 2024 dan berakhir pada 20 April 2025 sementara saingan ACLE dan ACL2 pula akan berlangsung dari 16 September 2024 dan berakhir pada 4 Mei 2025.