MALAYSIAN Football League (MFL) hari ini mengumumkan jadual pertandingan Liga Super 2024-2025 melibatkan perlawanan minggu 1 sehingga minggu 13 (LS1 – LS13) bagi membolehkan kelab Liga Malaysia membuat persiapan awal untuk menghadapi musim baharu.

Jadual perlawanan itu melibatkan perlawanan 13 kelab yang akan bertanding dalam Liga Super 2024-2025. Bagaimanapun sekiranya badan bebas, First Instance Body (FIB) memutuskan hanya 12 kelab sahaja yang layak bertanding di dalam Liga Malaysia musim ini maka MFL akan mengemaskini semula kalendar dan jadual pertandingan Liga Malaysia yang lengkap untuk semusim.

Waktu sepak mula bagi jadual perlawanan yang telah dikeluarkan itu hanya akan dikemaskini sebaik sahaja mendapat pengesahan daripada penyiar rasmi MFL.

 

“Perancangan penjadualan ini telah mengambil kira perkara-perkara berikut seperti Kalendar FIFA 2023 yang melibatkan latihan Pasukan Kebangsaan (Kelayakan Piala Dunia 2026); Pertandingan AFC Champions League Elite (ACLE); Pertandingan AFC Champions League 2 (ACL2); ASEAN Club Championship (Shopee Cup); dan Pusingan kelayakan pertandingan AFC B20 2025.

“Selain itu, Pertandingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024; Sukan Olimpik 2024; Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak2024; Pergerakan logistik dan operasi VAR; Perkongsian venue perlawanan (Liga Super dan Piala MFL); dan tempoh rehat dan perjalanan kelab serta Hari Pelepasan Am Persekutuan dan Negeri 2024/25 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri,” menurut kenyataan MFL pada Selasa.

Sementara itu, Perlawanan Sumbangsih, Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2024 bakal berlangsung pada 10 Mei 2024.
Seperti musim-musim terdahulu, perlawanan ini merupakan perlawanan pertama bagi Pertandingan Liga Super di mana pungutan mata perlawanan akan dikira sebagai mata di dalam Liga Super 2024-2025.

May be an image of 6 people, people playing football, people playing American football and text

JDT akan menjadi tuan rumah utnuk Perlawanan Sumbangsih, Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2024 yangbakal berlangsung pada 10 Mei 2024.

Perlawanan Sumbangsih kali ini akan mempertemukan Johor Darul Ta’zim (Juara Liga Super 2023) dengan Selangor FC (Naib Juara Liga Super 2023) dan venue perlawanan adalah di venue kelab juara Liga Super tahun 2023 iaitu Stadium Sultan Ibrahim.

Manakala, penentuan pemenang Perlawanan Sumbangsih ini akan ditentukan mengikut susunan berikut:

a. Kelab yang menang dalam Perlawanan pada masa penuh, dan jika seri.
b. Kelab yang menang penentuan sepakan dari tanda penalti mengikut undang – undang permainan Fifa.
c. Pungutan mata hanya akan dikira mengikut keputusan masa penuh (90 minit) bagi perlawanan tersebut.

Sementara itu bagi Pertandingan Piala FA 2024 tarikh– tarikh perlawanan adalah seperti berikut:

i. Pusingan 16 Pasukan : 13 – 15 Jun 2024
ii. Suku Akhir I : 28 – 30 Jun 2024
iii. Suku Akhir II : 4 – 6 Julai 2024
iv. Separuh Akhir I : 20 – 21 Julai 2024
v. Separuh Akhir II : 3 – 4 Ogos 2024
vi. Akhir : 24 Ogos 2024

Final Piala FA dijadual berlangsung pada 24 Ogos 2024.

Format Pertandingan Piala FA 2024 akan dimaklumkan selepas pengesahan oleh FIB berkenaan jumlah kelab yang akan bertanding di dalam Liga Malaysia 2024/25.

Bagi jadual dan format pertandingan Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup hanya akan dimaklumkan selepas pengesahan oleh FIB berkenaan jumlah kelab yang akan bertanding di dalam Liga Malaysia 2024/25.

Manakala jadual dan format pertandingan Piala MFL akan dimaklumkan dalam masa terdekat.