KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam yakin bahawa jadual Liga Super musim 2024-25 akan lebih tersusun dan mesra buat semua kelab selepas melakukan perubahan selaras dengan kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Liga Malaysia musim 2024-25 dijadualkan bermula pada Mei 2024 hingga Mei 2025 dengan tahun ini dikira sebagai transisi sebelum kalendar penuh Ogos hingga Mei dapat dijalankan menjelang musim 2025-26.

Stuart yang ditemui ketika Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024-25 di Iskandar Puteri, Johor turut mengakui masih ada beberapa kekangan yang perlu diatasi bagi memastikan kalendar pertandingan yang lebih adil buat semua kelab.

“Saya sudah melihat draf pertama yang disediakan unit pertandingan dan nampak jarak perjalanan yang bagus dengan permintaan pasukan untuk beraksi lebih pada hujung minggu tetapi kita juga tahu beberapa kekangan tempatan yang perlu diambil kira.

“Kita bertuah kerana kita tidak bermain pada bulan puasa dan cuti Hari Raya yang kebiasaannya lebih panjang dan ini memberikan kami ruang yang lebih panjang sehingga April 2025 dan MFL akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai struktur-struktur penjadualan tidak lama lagi,” katanya.

Stuart turut menjelaskan bahawa jadual musim baharu ini akan mengambil kira kewangan pasukan dengan cuba mengadakan lebih perlawanan pada hujung minggu selain faham dengan keluhan pasukan dari Borneo yang memerlukan perbelanjaan penerbangan lebih kerap.

“MFL sedang merumuskan untuk memastikan kesediaan pasukan dan juga faedah jadual itu dari sudut kewangan pasukan masing-masing apabila dapat bermain perlawanan di gelanggang sendiri pada hujung minggu.

“Kami juga tahu pasukan Sabah dan Kuching City selalu meminta untuk bermain dua tiga perlawanan di Semenanjung dan kami memahami situasi ini dan akan meneliti perkara ini bagi mengelakkan efek domino kepada jadual liga,” jelasnya.

Pihak pengelola liga itu turut mengesahkan perlawanan pada sebelah petang akan dikekalkan kerana ianya mendapat sambutan penyokong selain memberi ruang buat penjadualan siaran langsung dari hos penyiar.