PERSATUAN Golf Junior Malaysia (MGJA) merancang untuk mewujudkan kerangka program Akademi Golf Malaysia Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam usaha pihaknya melahirkan atlet yang berkualiti sama ada dalam bidang sukan serta akademik.
Presidennya Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, kerjasama antara MGJA dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM itu antaranya akan menggunakan kemahiran serta kepakaran yang dimiliki oleh persatuan itu untuk diketengahkan kepada pemain muda dalam usaha melahirkan atlet golf profesional universiti itu.
“Namun perincian lanjut berhubung penubuhan akademi itu masih dalam peringkat perbincangan antara MGJA dan FSR untuk diperhalusi,” katanya pada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara persatuannya dan fakulti di Shah Alam pada Selasa.
MoU itu dimeterai oleh Irmohizam dan Timbalan Presiden Mohd Zurie Harun mewakili MGJA manakala UiTM diwakili Naib Canselor Professor Datuk Dr Roziah Mohd Janor serta Dekan FSR Profesor Dr Mohad Anizu Mohd Nor.
Sementara itu, Roziah berkata penubuhan akademi itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun dari sekarang sekiranya ia sudah diperhalusi selain perlu mendapat ketetapan daripada Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan.
“Namun, setakat ini belum ada perbincangan (berhubung akademi itu) di peringkat Majlis Eksekutif UiTM. Kami akan bawa hasrat ini melalui satu kertas kerja daripada FSR untuk dimajukan kepada majlis itu (Majlis Eksekutif UiTM),” katanya.