BEKAS pengarah sukan Liverpool, Michael Edwards sah kembali ke kelab gergasi tersebut sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di bawah kelolaan Fenway Sports Group.

Beliau akan mengendalikan aktiviti dan operasi harian bagi pengurus-pengurus Liga Perdana sekali gus menjalankan tanggungjawab pertamanya dengan melantik pengarah sukan baharu.

Ura-ura mengatakan bahawa Richard Hughes adalah nama yang mungkin layak dilantik sebagai pengarah sukan Liverpool untuk saingan bola sepak musim 2024-2025.

Untuk mengimbau kembali sejarah perjalanan Edwards, beliau telah bersama Liverpool sejak tahun 2011 dan dinaikkan pangkat menjadi pengarah sukan pada tahun 2016.

Edwards (kiri) kembali ke Liverpool sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

“Adalah penting bagi saya, jika saya kembali, ia mesti dengan semangat dan tenaga yang diperbaharui. Dalam amalan, ini bermakna mempunyai cabaran dan peluang baharu.

“Oleh itu, salah satu faktor terbesar dalam keputusan saya ialah komitmen untuk memperoleh dan menyelia kelab tambahan, mengembangkan bidang organisasi mereka.

“Saya percaya bahawa untuk kekal berdaya saing, pelaburan dan pengembangan portfolio bola sepak semasa adalah perlu,” katanya.

Kebolehannya dalam melahirkan pemain berkualiti ke Anfield dan menjual pemain yang tidak diingini oleh Jurgen Klopp dengan harga yang tinggi adalah antara faktor kejayaan Liverpool.

Namun sayangnya, Edwards memutuskan untuk meninggalkan Liverpool pada akhir musim 2021/2022.

Kini, khabar baik kembali menyelubungi keluarga Liverpool apabila beliau telah kembali sebagai CEO dan diharapkan agar auranya dapat membawa semangat baru sekali gus memacu Liverpool ke arah kegemilangan.