KETUA Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai memberi bayangan dirinya mungkin sudah tidak mampu memberikan nilai tambah kepada pemain dan bersedia untuk berundur susulan kekalahan skuad badminton wanita negara di Sukan SEA Kemboja pada Isnin.

Perkara yang tidak dijangka dalam sejarah sukan badminton Malaysia berlaku apabila pasukan wanita kebangsaan tewas kepada Filipina 3-0 dalam pusingan awal acara badminton berpasukan.

Michelle yang ditemui ketika sesi sidang media selepas majlis perlepasan pemain ke Piala Sudirman turut merasai kesakitan yang dialami para pemain dan faham akan kemarahan yang dialami peminat badminton negara.

“Kekalahan semalam tidak boleh diterima. Bukan tidak menghormati Filipina tetapi kami sedar bahawa pemain kami adalah muda tetapi itu bukanlah alasan kerana sesiapa yang dihantar untuk menyarung jersi Malaysia mereka perlu beraksi dengan baik.

“Sebagai CEO ABM saya mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti sepenuhnya serta turut merasai kesakitan dan faham kemarahan dan kekecewaan peminat. Disebabkan ada jurang yang besar, pemain muda lebih memerlukan lebih bantuan berbanding pemain senior.

“Ketika kami mengkaji semula kekalahan kepada Filipina, ianya juga masa yang terbaik buat kami termasuk saya untuk melihat diri kami sendiri dan berlaku jujur adakah kami masih mampu untuk memberikan nilai tambah kepada para pemain.

“Jika kami sudah tidak dapat memberikan impak kepada pemain kami, jadi kami perlu berundur dan bawa individu lain yang boleh membawa idea baharu,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri barisan kejurulatihan ABM.

Kekalahan kepada Filipina itu menyaksikan skuad wanita tersingkir dan tidak dapat mengulangi pencapaian layak ke separuh akhir ketika Temasya di Hanoi yang menyaksikan Malaysia tewas 1-3 kepada Vietnam.

Kekalahan itu jelas menjejaskan moral para pemain dan sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan mereka kekal fokus untuk menghadapi acara individu sekaligus mampu menebus kekecewaan di acara berpasukan.