KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai mempunyai dua prinsip yang ingin diketengahkan kepada barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pertamanya, Michelle menggesa barisan jurulatih memberi fokus yang lebih kepada sandaran pingat dan pemain yang boleh menjadi prospek di Sukan Olimpik berbanding sukan di peringkat rendah lain.
“Fokus kepada kitaran Olimpik. Siapa pemain yang kita rasa boleh kita sandarkan untuk Paris, Los Angeles dan Brisbane.
“Kita bukan sahaja bercakap tentang kelayakan ke Olimpik. Sudah tentu harapan semua rakyat untuk kita menang pingat di Olimpik. Sukan badminton ini bukan kita layak ke Olimpik sahaja orang dah tak tepuk tangan dah. Layak sahaja tidak mencukupi.
“Jurulatih perlu melihat pemain yang benar-benar berpotensi untuk memenangi pingat. Pemain yang benar-benar mampu mencapai tahap kompetitif.
“Kalau kita tengok kebanyakannya, pemain perseorangan lelaki sebagai contohnya, apabila umur lingkungan 21 tahun sudah berada dalam kelompok 30 terbaik dunia, apabila mencecah usia 23, mereka telah berada pada kelompok 10 terbaik dunia,” jelasnya dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Isnin.
Biarpun sedar, ianya bukanlah tugas mudah bagi jurulatih menilai pemain yang memiliki X-Faktor tersebut, namun percaya kepada pengalaman dan kewibawaan barisan kejurulatihan dalam memilih pemain yang benar-benar mampu beraksi di peringkat kompetitif.
“Menilai potensi pemain kami sedar bukanlah mudah, tetapi kita percaya kepada barisan kejurulatihan. Semua jurulatih yang ada merupakan bekas pemain dan kesemuanya hebat-hebat,” ujarnya.
Cadangan kedua Michelle adalah agar jurulatih mengurangkan pemain serta lebih memberi tumpuan kepada kualiti berbanding kuantiti.
Selain itu, pemain yang berada di bawah kelolaan badan induk itu juga akan dijamin kebajikannya dengan peruntukan sebanyak RM300,000 seorang serta bakal dihantar menyertai sebarang kejohanan di peringkat negeri.
Perubahan tersebut dilakukan kerana mengambil kira supaya pemain mendapat keadilan sewajarnya semasa berada di bawah naungan BAM.
“Keduanya, kami meminta jurulatih mengurangkan pemain dan hanya memfokuskan kepada kualiti berbanding kuantiti.
“Bermula tahun hadapan, siapa-siapa pemain yang kita simpan, kita akan pastikan pemain dihantar menyertai sebarang kejohanan peringkat negeri.
“Ia bermakna secara purata kita akan peruntukan RM300,000 untuk seorang pemain bagi mengekalkan prestasi dan perbelanjaan pemain demi negara.
“Sememangnya kita boleh menyimpan pemain dan membayar gaji untuk mereka berada di BAM. Tetapi adakah dengan itu sahaja, ia adil bagi pemain? ,” katanya.