FAISAL Abdul Halim selamat menjalani pembedahan ketiga pada Khamis dan kondisinya kini lebih baik dan stabil kerana sudah boleh berjalan dengan sendiri di dalam wadnya.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang ditemui ketika berada di sebuah perkarangan hospital swasta, di Shah Alam pada Jumaat.
Beliau kelihatan lega apabila mendapati bahawa Faisal kini tampak lebih ceria daripada hari sebelumnya, dan perkembangannya kini lebih positif kerana sudah mula berjalan.
“Faisal Halim ini ‘special’ kerana dia punya tempoh pemulihan itu sangat cepat, tetapi tetap akan mengambil masa. Cuma saya berharap agar dia dapat pulang ke rumah sewaktu Hari Raya Aidiladha, kerana dia kata dia mahu balik.
“Dia juga sudah pergi berjalan ke bilik air dengan sendirinya, jadi kita nampak dia gigih untuk berjalan dan kembali pulih. Itu sangat membanggakan saya kerana ‘Mickey always be Mickey’.
“Pagi ini punya perkembangan memang sangat positif dan saya rasa dalam beberapa hari akan datang, tidak ada apa-apa perkembangan lebih besar selain tertumpu kepada Faisal untuk berehat kerana mungki akan ada satu atau dua lagi prosedur pembedahan dalam masa dua atau tiga hari ini,” ujar Shahril kerika ditemui di hospital pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Ketua perubatan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair menjelaskan bahawa pembedahan ketiga yang dibuat pada Khamis adalah lebih tertumpu kepada proses penampalan skin allograft terhadap Faisal Halim.
“Penampalan utama telah dibuat pada bahagian tangan kiri dan rusuk belah kiri. Skin allograft ini akan tumbuh secara perlahan dan kita biar badan Faisal buat dia punya kerja.
“Pakar bedah akan memantau Faisal dari masa ke semasa dan akan menentukan waktu terbaik untuk prosedur seterusnya. Paling penting sekarang, kita nak jaga komplikasi daripada segi jangkitan,” ujar Hazwan.