AKSI dramatik yang diharapkan oleh penyokong Terengganu FC pada final Piala FA ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu tidak kesampaian apabila barisan pemain skuad Peteh gagal mempamerkan aksi yang diharapkan.
Diakui bukan mudah untuk beraksi di final namun itu bukanlah alasan buat anak-anak buah Nafuzi Zain untuk membiarkan pemain JDT bermaharajalela dan akhirnya memenangi perlawanan ini.
Pemain sayap lincah, Faisal Halim atau Mickey seolah-olah hilang dan tidak dapat membantu serangan Terengganu dengan barisan tengah yang kelihatan pegun memudahkan pemain JDT untuk menyekat segala gerakan yang cuba dibentuk Terengganu.
Gandingan tiga pemain import tengah Terengganu, Manuel Ott, Habib Haroon dan Petrus Shitembi jelas gagal menghantar bola ke hadapan menyebabkan Kipre dan Mickey hilang arah untuk melakukan percubaan.
JDT pula bijak mengambil kesempatan keatas kegugupan barisan muda Terengganu dengan hantaran-hantaran pantas yang membelah benteng dan akhirnya memerangkap Rahadiazli dan memaksanya melakukan kesilapan.
Penalti yang jelas dan kurang komunikasi dengan pertahanan menjadi punca gol kedua dan ketiga JDT dan ini tidak baik buat Rahadiazli yang disebut-sebut sebagai bakal penjaga gol kebangsaan.
Namun apa pun kredit harus diberikan kepada para pemain muda Terengganu yang tetap memberikan sepenuh jiwa dan raga dihadapan puluhan ribu penyokong yang berkampung di Bukit Jalil sejak awal pagi.
Perlawanan berskala besar seperti ini ditambah pula bertemu dengan pasukan yang sentiasa layak ke final akan menjadi pengajaran dan memberi pengalaman yang berharga kepada mereka.
Peluang Terengganu ke Asia masih belum tertutup kerana selepas JDT menjuarai Piala FA, kini tiket ke Piala AFC musim hadapan akan menjadi milik naib juara dan tempat ketiga liga dan Terengganu perlu fokus kepada baki aksi di Liga Super.
Tiada apa yang hendak dikesali oleh pemain, jurulatih dan penyokong Terengganu. Hadapi dengan senyuman dan jadikan kekalahan di final ini sebagai titik permulaan kebangkitan yang lebih gemilang. Peteh Teganu Peteh.