PEMAIN kebangsaan, Faisal Halim secara peribadi mahu melihat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kekal menerajui badan induk itu kerana dia mempunyai pengalaman dan ‘connection‘ yang luas dalam dunia bola sepak.

Faisal atau mesra disapa Mickey itu juga menegaskan dia sudah lama mengenali Hamidin dan tahu presiden FAM itu seorang yang cakna tentang perkembangan bola sepak selain invididu yang cukup prihatin terhadap kebajikan para pemain terutama mereka yang menyarung jersi Harimau Malaya.

“Jika ditanya adakah Datuk Hamidin perlu kekal sebagai Presiden FAM, secara peribadi saya katakan ianya wajar dan dia harus terus diberikan mandat sebagai presiden kerana dia juga adalah ahli Majlis Fifa dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC.

Faisal secara peribadi mahu Datuk Hamidin kekal sebagai Presiden FAM

“Ianya satu kerugian buat bola sepak Malaysia jika Datuk Hamidin melepaskan jawatannya kerana dia sudah ada ‘connection‘ yang baik di pentas antarabangsa dan bukan calang-calang orang boleh menggalas tugas ini.

“Sebagai pemain, kami cukup selesa dengan pendekatan dan gaya kepimpinannya kerana dia adalah seorang yang mudah didekati dan sentiasa rajin turun padang untuk bersama kami sepanjang kem latihan dan perlawanan skuad kebangsaan.

“Dia juga cukup prihatin dengan pemain dan sebagai contoh, dia adalah individu pertama yang datang melawat saya di hospital selepas insiden malang menimpa saya Mei lalu untuk melihat sendiri keadaan saya dan menberikan kata-kata semangat,” kata Faisal ketika ditemui media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Pemain Harimau Malaya senang dengan pendekatan Datuk Hamidin.

Namun begitu, Faisal turut menjelaskan bahawa ianya terpulang kepada ahli-ahli gabungan FAM untuk menentukan tetapi secara peribadi dia merasakan Hamidin masih relevan untuk kekal sebagai presiden ketika ini.

“Soal pemilihan ini, ianya terpulang kepada ahli-ahli gabungan FAM untuk menentukan kerana mereka ada hak untuk mengundi dan bukannya kami sebagai pemain, mahupun penyokong ataupun pihak media.

“Buat masa sekarang dan untuk beberapa tahun akan datang, saya berpendapat yang Datuk Hamidin masih relevan untuk menerajui FAM tetapi dengan syarat dia perlu mendapat sokongan dari semua pihak dan hentikan sikap tidak puas hati jika tidak, kita tidak akan kemana-mana,” tambahnya lagi.

Datuk Hamidin Mohd Amin menggalas tugas Presiden FAM sejak 2018 menggantikan Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail dan kepimpinannya berjaya membawa Malaysia layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas 43 tahun tidak berjaya ke kejohanan tertinggi Asia itu.