PENYERANG kebangsaan, Faisal Halim tidak mahu dibuai kemenangan anugerah gol terbaik Piala Asia 2023 dan tidak menganggap dirinya sebagai ‘superstar’ sebaliknya bekerja keras untuk membantu Harimau Malaya menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac.

Faisal yang mesra disapa Mickey itu juga mengakui kem latihan pada kali ini cukup berbeza kerana kebanyakan pemain kekurangan kecergasan dan jurulatih Kim Pan-gon mahu memastikan kesemua pemain cergas menjelang aksi bertemu Oman.

“Anugerah yang saya menang adalah hasil usaha bersama rakan-rakan sepasukan selain undian seluruh rakyat Malaysia dan ianya rezeki saya. Tetapi itu bukan beri tanda saya pemain terbaik dalam pasukan tetapi ianya beri gambaran yang kita mampu bersaing dengan mana-mana pasukan namun kita masih perlu bekerja keras.

Faisal mengakui kem latihan kali ini lebih berintensiti tinggi

“Kita ke Oman ini agak sukar dengan mereka tukar jurulatih baharu dan kita perlu bersedia dengan segala cabaran dan mengikut arahan serta analisis barisan kejurulatihan,” katanya ketika ditemui di hari keempat kem latihan pusat kem kebangsaan di Wisma FAM Kelana Jaya.

Mickey juga mahu pasukan meneruskan momentum kemenangan dengan mendapatkan seberapa banyak mata dari dua perlawanan ini bagi memastikan Harimau Malaya layak lebih awal ke Piala Asia 2027 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

“Sudah tentu ini peluang terbaik kita untuk layak lebih awal sebab itu jurulatih mahu kita berlatih awal. Sekiranya kita ke Oman dapat mata dan kita balik ke Bukit Jalil dapat mata, saya rasa kita dah selamat untuk ke pusingan seterusnya.

“Kita perlu beri yang terbaik sekiranya hendak pilih laluan yang mudah kerana kita tidak mahu dua perlawanan terakhir jadi penentuan untuk layakkan diri kerana ianya lebih sukar,” jelasnya.

Malaysia kini menduduki tangga teratas Kumpulan D dengan enam mata selepas dua perlawanan awal hasil kemenangan keatas Republik Krygyz 4-3 dan 1-0 keatas Chinese Taipei sekaligus meningkatkan peluang layak ke pusingan seterusnya.