PEMAIN import Negeri Sembilan FC (NSFC), Mika Junco yang menjadi mangsa ragut di Kuala Lumpur hujung minggu lalu tidak mengalami kecederaan serius dan sudah menjalani latihan seperti biasa bersama-sama skuad Jang.

Perkara ini disahkan sendiri oleh ketua jurulatih Negeri Sembilan, Azzmi Aziz yang lega kerana pemain itu tidak mengalami kecederaan yang mungkin memaksa untuk dia diketepikan pada aksi menentang Sri Pahang pada 13 Julai.

Ketika kejadian dia berseorangan selepas pasukan memberikan cuti rehat dua hari kepada para pemain dan kelab sudah pun mengeluarkan kenyataan mengutuk keras perkara yang menimpa pemain Sepanyol itu.

Mika Junco memuatnaik hantaran berkaitan kejadian yang menimpanya

“Lega kerana dia tidak mengalami kecederaan serius dan sudah boleh menyertai sesi latihan kami sejak Isnin lalu. Pemain diberikan cuti pada hujung minggu lalu ketika kejadian itu berlaku.

“Mika berada dalam keadaan yang positif meskipun agak sedih kerana rantai yang diragut itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana pemberian dari keluarganya.

“Namun begitu dia tetap bersemangat menjalani latihan dan mendapat sokongan daripada rakan-rakan sepasukannya yang menaikkan semula motivasinya,” kata Azzmi ketika dihubungi

Mika ketika ini menjadi perhatian para penyokong NSFC selepas gagal mempamerkan aksi memberangsangkan hingga menyaksikan Negeri Sembilan kini menduduki tangga terbawah Liga Super dan tersingkir awal dari saingan Piala FA.

Negeri Sembilan kini giat menjalani latihan sebelum aksi bertemu Sri Pahang dan kejadian ini dilihat tidak menggangu persiapan pasukan yang berada di bawah tekanan ekoran keputusan yang kurang baik musim ini.