PENGANUGERAHAN tertinggi diterima sepanjang bergelar atlet pada Anugerah Sukan Negara semalam, menyuntik semangat baharu buat bekas jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, yang kini bergelar jurulatih kebangsaan.

Baru sebulan dilantik memegang jawatan itu, Syarul Azman yang lebih dikenali dengan panggilan Mike yang bersara pada Mac lalu, pengiktirafan yang diterima membuatkan beliau membuak-buak mahu melahirkan juara dunia baharu.
Menurutnya, negara memikili ramai atlet berpotensi untuk bergelar juara dunia.

“Kita ada ramai atlet berpotensi sebenarnya seperti dari Sarawak, Johor dan PDRM (Polis Diraja Malaysia). Kita cuma perlu membawa mereka ke landasan yang betul.

Mike Mahen meraih gelaran Juara Dunia keenam pada usia 50 tahun, bersara Mac lalu.

“Baru-baru ini saya bawa satu pasukan menyertai kejohanan di Laos (Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Asia Tenggara) dan tidak menyangka atlet dari Sarawak, Joseph Ladi berjaya memenangi pingat emas (kategori 65kg bantamweight) pada penampilan pertamanya.

“Jadi, saya percaya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, kita boleh lahirkan juara dunia yang baharu,” kata Mike.

Beliau akhirnya dinobat sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023, selepas lima tahun sekadar menjadi calon Top 5.

“Bukan sesuatu yang mustahil jika tahun depan kita akan ada juara dunia sebab saya ada menjaga atlet senior, saya harap mereka boleh menang juara dunia dalam kelas masing-masing,” kata bekas juara dunia enam kali itu.

Susulan kejayaan merangkul gelaran Olahragawan Kebangsaan, semalam Mike menjadi atlet bina badan ketiga meraih anugerah itu selepas Datuk Malek Noor pada 1986 dan Sazali Samad (2000, 2006, 2013 dan 2014).

Mohd Syarul mengetepikan empat lagi calon akhir iaitu atlet ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil, Ng Eain Yow (skuasy), Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).

Dalam pada itu, Mike memaklumkan dia ketika ini sedang mempersiapkan atlet bina badan negara untuk menyertai Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia di Maldives pada November depan.