RAMAI yang berpandangan bahawa bola sepak adalah satu sukan yang mudah, namun ia memerlukan kerja keras dan minat mendalam bagi memantapkan kemahiran bermain sukan popular tersebut.

Seramai 116 pemain muda telah dipilih bagi menyertai program Milo X FAM Ultimate Experience untuk mendalami sukan bola sepak. Mereka yang terpilih ini terdiri daripada pemain yang telah mempamerkan potensi di sepanjang kejohanan liga komuniti dengan kerjasama Milo .

Pengurus Pemasaran Milo Malaysia, Kerwin Lim berkata Milo sentiasa percaya dan yakin bahawa sukan berperanan sebagai guru terbaik yang boleh memupuk kesungguhan serta membentuk keperibadian individu untuk berjaya dalam apa jua bidang sukan yang diceburi.

Milo yang sinonim dengan penganjuran pertandingan sukan di peringkat bawah umur tetap komited untuk memantapkan lagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi dan mengalu-alukan penglibatan FAM.

“Kerjasama yang sekian lama dijalin bersama FAM akan meneruskan usaha kami menyediakan pentas kompetitif dan platform terbaik kepada pemain muda untuk bersinar di samping bekerjasama melahirkan lebih ramai lagi perintis masa depan bola sepak negara.

“Mereka yang terlibat dalam program Milo X FAM Ultimate Experience nampaknya memiliki kemahiran yang tinggi dan saya percaya mereka (pemain muda) berada di landasan yang tepat setara dengan usaha kita membangunkan ekosistem yang terbaik untuk mereka bersaing secara kompetitif,” jelas Kerwin.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Malayan Tigress B-20, Cameron Ng turut menzahirkan penghargaan kepada Milo Malaysia di atas komitmen mereka untuk bersama-sama membangunkan ekosistem akar umbi bola sepak di Malaysia, sekali gus menyokong kerjasama yang erat antara Milo Malaysia dan FAM.

“Sudah pasti kami di barisan kejurulatihan menyambut baik program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Milo Malaysia dalam memberikan peluang kepada para pemain untuk menyerlahkan bakat dan potensi mereka,” ujarnya.

Manakala, pemain muda Akademi Kelab Velocity, Ryan Khaliq (9 tahun),  yang beraksi cemerlang di Saingan Liga Juara-Juara Remaja Milo kategori (B-10) begitu teruja dengan pengalaman yang sukar dilupakan.

“Saya gembira dapat berpeluang merasai pengalaman berlatih di sini, tempat pasukan kebangsaan berlatih dan ini akan meningkatkan lagi motivasi serta semangat saya untuk mewakili pasukan kebangsaan, satu hari nanti,” tegasnya.

Kerjasama antara Milo dan FAM dalam tempoh beberapa tahun ini menumpukan fokus utama untuk melahirkan lebih 100,00 pemain muda dan 5000 jurulatih bagi diserapkan ke dalam ekosistem pembangunan akar umbi FAM.

Milo Malaysia juga akan terus menyajikan pentas kompetitif seperti Saingan Liga Juara-Juara Remaja Milo.

Karnival Futsal Milo Hidup Bola yang telah melahirkan beberapa pemain bola sepak kebangsaan seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat, Azri Ghani, Shivan Pillay serta Arif Aiman Hanapi yang baru-baru ini dinobatkan Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK), tahun lalu.