DALAM kehangatan saingan Temasya Sukan SEA yang sedang berlangsung, sambutan daripada penonton tempatan agak kurang mendapat sambutan di hampir seluruh venue.
Namun, apa yang menariknya kehadiran warga asing yang duduk bersendirian di tempat duduk penonton di arena catur ouk chaktrang menarik perhatian.
Kelibat ‘Minah Saleh’ itu mencuri tumpuan, kerana ada kalanya dia kelihatan kebosanan namun tetap tidak meninggalkan tempat duduknya, lalu Flash Sukan mendekati untuk mengetahui tujuan kehadirannya di Universiti diRaja Phnom Penh (RUPP).
Apabila didekati, gadis berusia 25 tahun itu memberitahu namanya Molly Dunlop dan tidak teragak-agak memperkenalkan dirinya sebagai wartawan pelatih.
Gadis warga Amerika Syarikat (AS) itu berkata, dia baharu tiba di bumi Kemboja pada Mac lalu dan memulakan tugasan sebagai wartawan pelatih.
“Saya tidak tahu dan tidak pernah membuat liputan sukan, namun kebetulan berlangsungnya Sukan SEA yang dihos Kemboja, saya ditugaskan ke venue-venue sukan,” katanya, yang datang bersendirian ke Kemboja.
Ketika ditanya mengenai pengetahuannya berkaitan catur ouk chaktrang, Molly mengukirkan senyuman sambal memberi pendapat: “Saya baharu tahu mengenai catur ini apabila ditugas membuat liputan, pertama tak sangka catur dimasukkan sebagai acara sukan dan kedua, baharu saya boleh mengenali catur kemboja ini.
Katanya, dia ditugaskan untuk membuat liputan sukan catur dan e-sport berpendapat minat orang Asia dan AS berbeza.
“Di AS, e-sport tidak dianjurkan begini dan ia dianggap minat atau hobi dan dimainkan individu tertentu dalam kelompok tertentu. Saya harap catur ouk chaktrang dan e-sport akan lebih popular di Asia melalui penganjuran sukan sebegini.
“Tujuan saya mengikuti program wartawan pelatih ini kerana saya sangat berminat untuk menjadi wartawan.”
Katanya, selepas menamatkan program enam bulan itu, dia mahu mendapatkan pekerjaan di Kemboja kerana sudah terpikat dengan masyarakat tempatan yang disifatkannya sangat baik dan selesa.
“Saya pernah ke Taiwan dan Bangkok (Thailand), tapi saya lebih terpikat dengan Kemboja kerana keramahan selain sewa penginapan yang rendah dan makan minum yang sangat murah.”
Molly mengakui mahu ke Malaysia dan mengenali masyarakat di sana selepas sering dijemput rakan yang menetap di Pulau Pinang.
“Saya dengar bermacam-macam mengenai Malaysia, makanan dan sebagainya, nanti saya akan ke sana,” kata Molly.