LEGENDA hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi terus aktif dalam perniagaan apabila mengembangkan minatnya dalam industri perniagaan makanan.
Kali ini, Mirnawan bersama tiga rakan kongsinya membuka cawangan Wagyu Master yang terkemuka di Taiwan.
Menurut Mirnawan, Wagyu Master Malaysia ini merealisasikan impian besarnya sejak zaman kanak-kanak.
“Perniagaan ini dibina atas pengalaman yang lalu. Sebenarnya saya memang minat dalam bidang ini sejak dahulu lagi.
“Sekarang barulah dapat direalisasikan menerusi nama Wagyu Master Malaysia yang merupakan projek bersama tiga rakan kongsi yang lain.
“Selepas ini mungkin jika ada rezeki kita akan membuka lagi cawangan ini di tempat-tempat lain bagi mengembangkan lagi perniagaan ini,” katanya, pada majlis pelancaran Restoran Wagyu Master Malaysia di ibu negara pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail, merasmikan majlis perasmian pembukaan restoran ’find dining’ Wagyu Master Malaysia.
Katanya, Wagyu Master Malaysia adalah cawangan pertama di buka di luar Taiwan.
Dalam pada itu, Mirnawan berkata, peminat wagyu yang beragama Islam tidak perlu risau mengenai status halal daging-daging yang disediakan di restorannya.
Jelas beliau, kesemua daging yang diperoleh dari Miyazaki, Jepun yang mempunyai pusat penyembelihan halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).
“Daging wagyu ini kita import dari Jepun di Miyazaki yang mana tempat proses dan penyembelihannya diiktiraf dan dijamin halal oleh Jakim.
“Jakim sangat proaktif dan tahu rakyat Malaysia, ramai gemar dengan daging wagyu. Justeru penggemar daging halal tidak perlu risau untuk makan daging disini,”ujarnya.