KARNIVAL Mini EsportsCon anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) buat julung-julung kalinya telah menghimpunkan pemegang taruh e-sukan dalam kalangan penerbit permainan terkemuka tempatan dan antarabangsa di bangunan utama Parlimen Malaysia.

Acara ini dianjurkan bagi meraikan industri e-sukan yang dinamik dan pesat berkembang di Malaysia, di samping menyediakan ruang libat urus antara pemain industri sukan elektronik dan warga Parlimen khususnya Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai penggubal undang-undang negara.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang hadir dan warga Parlimen yang turut serta memberikan sokongan untuk acara Mini EsportsCon di Parlimen.

Hannah dan Adam mencuba sendiri beberapa permainan yang ditawarkan

“Acara ini menandakan pencapaian penting dalam mengiktiraf potensi esukan sebagai industri yang dinamik dan berpengaruh. Kami berharap inisiatif ini diterima dengan baik dan mampu memberikan gambaran lebih jelas kepada pembuat dasar berkenaan landskap e-sukan yang semakin berkembang,” kata YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan.

Penganjuran acara ini turut dijayakan secara bersama oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Moonton, Tencent, Raceroom Asia, Gamesbond, Ammobox Studios, Kaigan Games dan Todak Studios yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Antara aktiviti yang berlangsung termasuklah sesi pengenalan kepada sukan elektronik dan sesi demonstrasi permainan yang menawarkan pengalaman secara terus dengan pelbagai judul permainan.

Acara ini juga menampilkan pembentangan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), yang dibangunkan untuk menyokong pelaksanaan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik Kebangsaan 2020-2025.

Antara yang turut diketengahkan adalah Esports MedicA, sebuah inisiatif yang diwujudkan untuk memberikan pendidikan dan khidmat nasihat berkaitan kesihatan kepada penggiat industri khusus para pemain.