PENYERANG pinjaman Kuala Lumpur City FC, Jordan Mintah membuka akaun jaringan dengan dua gol untuk membenam Kedah Darul Aman FC (KDA) 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Mintah yang dipinjamkan dari Terengganu FC akhirnya berjaya mendapatkan rentak jaringan dengan gol menarik pada minit ke-57 dan 72 untuk memberikan kemenangan kelima buat KL City.
KDA FC pula seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal mempertahankan kelebihan awal dan juga gagal menyempurnakan penalti untuk pulang hampa dengan kekalahan kelima.
Penyerang muda Kedah, Aiman Afif Afizul meletakkan Kenari di hadapan menerusi tandukan cantik pada minit ke-41 sekaligus memberikan semangat kepada rakan sepasukan yang dilihat lebih menguasai babak pertama.
56′ GOL | Jordan Mintah menjaringkan gol pertamanya bersama KL City FC!@KLCityFootball 1-1 @kda_fc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/Ca0DHL6wvq
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) July 27, 2022
Pengendali KL City, Bojan Hodak melakukan pertukaran taktikal dengan menyerang lebih pantas pada babak kedua dan hasilnya Mintah meledak 11 minit selepas perlawanan bersambung.
Tiga minit selepas itu, Ronald Ngah Wanja seharusnya meletakkan Kedah dihadapan namun sepakan penaltinya terkena palang dan KL City memasukkan Paulo Josue yang dilihat mengubah corak permainan skuad warga kota.
Akhirnya Mintah berjaya meletakkan KL City dihadapan pada minit ke-72 sekaligus memberikan tiga mata penuh selepas tiga kali tidak menikmati nikmat kemenangan.
Kemenangan ini melonjakkan KL City ketangga keempat dengan 18 mata manakala Kedah pula kekal dengan 16 mata tetapi jatuh ketangga kelima liga.