BUAT julung kalinya jenama minyak masak utama di Malaysia dan sukan terbesar negara, Sime Darby Oils (SDO) mengumumkan minyak masak ALIF sebagai penaja Liga Malaysia (Liga-M).

Perjanjian tajaan bersama dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk tahun 2022 telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan SDO, Mohd Haris Mohd Arshad.

Mohd Haris Mohd Arshad berkata, sokongan jenama minyak masak itu terhadap sukan terbesar negara adalah wajar supaya kebaikan ALIF, minyak masak yang dihasilkan secara mampan pertama di Malaysia, dapat dikongsi dengan lebih ramai pengguna.

“Jenama ALIF mewakili pelbagai ciri terbaik minyak sawit Malaysia yang dihasilkan secara mampan. Kami percaya, lebih ramai peminat bola sepak tempatan akan dapat menghargai kualiti produk minyak masak ALIF, bukan sekadar para peminat wanita yang merupakan segmen pengguna utama kami.

“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Liga Bola Sepak Malaysia dan menemui penonton bola sepak Malaysia daripada pelbagai golongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata penyertaan ALIF sebagai minyak masak rasmi adalah suatu yang mengujakan bagi arena bola sepak tempatan, kerana ia membawa mesej yang positif bahawa liga bola sepak tempatan mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Bagi pihak Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Lembaga Pengarah dan komuniti bola sepak, kami berbangga mengalu-alukan kehadiran ALIF, salah satu jenama minyak masak tempatan terbesar, ke dalam keluarga Liga Malaysia 2022.

“Kerjasama ALIF dan MFL menandakan satu lagi penyertaan baharu jenama tempatan terkemuka yang menghargai dan menyokong industri bola sepak tempatan sebagai platform yang boleh meningkatkan kesedaran jenama.

“Setelah kita bersama-sama mengharungi wabak COVID-19, kami berterima kasih kepada SDO atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. MFL akan melakukan yang terbaik untuk menghidupkan pengalaman bola sepak yang hebat bersama Minyak Masak ALIF,” ujarnya.