TIADA alasan untuk Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melepaskan jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana masih relevan.
Datuk Misbun Sidek menyuarakan pandangannya mengenai isu peletakan jawatan lebih awal Norza, yang dirasakan satu kehilangan buat BAM.
Beliau berkata, sejak menjadi presiden BAM, Norza sudah melaksanakan tanggungjawab dengan sangat baik sejak menduduki kerusi nombor satu badan induk itu bermula 2017.
“Saya rasa sedih juga apabila Tan Sri Norza mengumumkan untuk meletak jawatan hujung tahun ini, tetapi untuk saya kenapa beliau nak berhenti?
“Jika tanya saya, beliau masih lagi relevan dan berwibawa sebagai presiden.
“Dengan adanya beliau, kita ada akademi (Akademi Badminton Malaysia), kita mendapat penajaan daripada penaja dan BAM ada reputasi yang tinggi.
“Cuma yang tidak ada sekarang ini hanyalah keputusan (gelaran kejuaraan daripada pemain-pemain negara),” kata Misbun, dalam sidang media di Ampang.
Menurutnya, beliau ada menyuarakan pandangan kepada Norza bahawa untuk menghasilkan keputusan yang baik ia memerlukan masa.
“Saya ada beritahu kepada Tan Sri Norza, apa yang beliau sudah lakukan sebelum ini, semuanya sudah betul. Namun, jika beliau mahukan keputusan segera, memang sukar,” katanya.
Norza pada 2 Ogos lalu mengumumkan akan meletakkan jawatannya pada hujung tahun ini, lebih awal berbanding pengumuman awalnya, selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkannya pada 15 Julai lalu.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau sudah mempunyai beberapa calon yang berpotensi bagi menggantikan tempatnya menerajui BAM.
Dalam pada itu, Misbun juga menolak tanggapan keputusan dibuat Norza itu adalah disebabkan kemelut yang melanda antara dirinya dengan BAM sebelum ini berhubung penamatkan kontraknya selaku pengarah kejurulatihan perseorangan remaja negara, lebih awal.
“Saya rasakan tindakan Tan Sri Norza meletak jawatan bukan disebabkan isu saya, mungkin beliau sudah ada perancangan tersendiri,” katanya.