BERSEDIA berkelana ke Thailand, legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek tetap enggan mengesahkan mengenai desas desus penghijrahannya ke Thailand.

Begitupun, nadanya seperti memberi bayangan akan menerima pelawaan Persatuan Badminton Thailand (BAT) sekiranya tawaran rasmi dibuat.

Artikel Berkaitan:

Misbun pertimbang latih pemain negara lain buru emas Olimpik Paris

Menurut Misbun, beliau dalam proses mengenali tiga pemain remaja Thailand, selain melihat sama ada kedua-kedua pihak (Misbun dan pemain Thailand) mempunyai keserasian dalam corak latihan yang diserapkan.

Datuk Misbun Sidek bersama pemain remaja Thailand di pusat latihan Nusa Mahsuri. Perkongsian Nusa Mahsuri menerusi akaun rasmi Instagram kelab itu, baru-baru ini.

Baginya, tidak mudah untuk melatih pemain dari luar negara, terutamanya pemain baharu dibentuk untuk menjadi pemain terbaik di negara itu, pada masa akan datang.

“Sekarang ini hanya percubaan saja, nak tengok bakat mereka (pemain remaja Thailand) selari tak dengan pencapaian akan datang. Saya lihat mereka (BAT) memberi kepercayaan penuh untuk saya bantu tingkatkan prestasi mereka (pemain). Kalau boleh, mungkin ia akan berpanjangan jadi sebab itu mereka hantar pemain ini.

Pemain remaja Thailand dihantar Persatuan Badminton Thailand (BAT) menjalani latihan bersama Datuk Misbun Sidek di pusat latihan Nusa Mahsuri.

“Berkenaan tawaran itu, saya akan bagitahu kemudian sebab saya tengah menilai dari segi budaya sebab mereka dari Thailand dan budaya mereka tak sama macam kita. Bila kita hendak latih orang, kita kena tahu budaya mereka, baru boleh kalau tidak susah juga. Melainkan kalau pemain itu sudah pandai tapi mereka datang dari pembangunan untuk persiapan kejohanan remaja dunia dan Sukan Olimpik Remaja (2026),”kata ketika majlis perasmian pameran Anak-Anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, pada Selasa.

Beliau turut melihat apa yang terjadi sekarang adalah sesuatu yang positif apabila ada orang luar ingin mendapatkan khidmatnya dan sudi beri kepercayaan kepada dirinya.

Datuk Misbun Sidek memberi bayangan akan melatih skuad remaja Thailand, pada majlis perasmian pameran Anak-Anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah.

“Pada saya, apa mereka tawarkan ini adalah satu penghargaan yang penting untuk saya dan paling penting adakah saya boleh sampaikan ilmu saya kepada pemain mereka?. Jadi sebab itu saya terima (melatih pemain Thailand) kerana ini satu percubaan.

“Kerana mereka pun tidak hantar pemantau sebaliknya pemain ini dari persatuan mereka sendiri. Saya tengok pemain ini mula agresif dan mereka seperti tidak mahu balik, ini yang saya nak tengok adakah saya boleh bantu pada masa akan datang dan ia terpulang kepada pihak persatuan itu sendiri untuk membuat keputusan,” katanya.