DATUK Misbun Sidek mengakui berasa lega, selepas mendengar permohonan maaf daripada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berikutan isu pemecatannya dari badan induk badminton negara itu.

Luahan isi hati itu, disampaikan pengurus peribadinya Nor Kamal Ahmad, yang dihubungi selepas usaha pihak media mendapatkan Misbun di kediamannya di Ukay Perdana, menemui kegagalan.

Menerusi perbualan telefon dengan Kamal, beliau memberitahu Misbun tidak bersedia bertemu media buat masa ini, kerana enggan mengeruhkan keadaan.

Kamal (kiri) memberitahu Datuk Misbun Sidek enggan bertemu media buat masa ini.

“Beliau beritahu saya bahawa sudah tidak terkilan lagi selepas mendengar kenyataan Norza di kaca televisyen,” kata Kamal.

Apabila ditanya mengenai tawaran dibuat Norza supaya Misbun kembali ke BAM, meneruskan kerjanya sehingga kontrak berakhir Disember depan, Kamal memberitahu, “Datuk Misbun nyatakan belum menerima apa-apa surat tawaran daripada BAM.

Petugas media berkumpul di perkarangan kediaman Datuk Misbun Sidek, sejak awal pagi lagi.

“Surat pemecatan sudah diterima, jadi jika mahu kembali perlu ada surat tawaran.

“Selepas menerima surat tawaran, Datuk Misbun akan teliti dahulu dan selepas itu terpulang kepada beliau sama ada mahu kembali atau tidak.”

Datuk Misbun Sidek tiada di rumah dan enggan bertemu media.

Pada 26 Julai lalu, Misbun dan barisan jurulatih perseorangan remaja kebangsaan dipanggil Jawatankuasa Khas BAM, bagi membuat penilaian prestasi pemain remaja di Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Yogyakarta yang gagal merangkul sebarang kejuaraan, malah hanya satu wakil mara ke pusingan suku akhir.

Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam membuat sidang media mengumumkan mencapai persetujuan bersama dengan Datuk Misbun Sidek, untuk menamatkan kontraknya lebih awal, pada 28 Julai lalu.

Selepas itu pada Jumaat (28 Julai), BAM diketuai Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam membuat pengumuman dalam sidang media, bahawa sudah mencapai kata sepakat dengan Misbun untuk menamatkan kontraknya lebih awal.

Datuk Misbun Sidek mengadakan sidang media pada 31 Julai, mendakwa terkejut membaca laporan media bahawa beliau bersetuju untuk kontraknya ditamatkan lebih awal.

Selepas itu, Isnin lalu Misbun membuat sidang media bagi menjelaskan situasi sebenar berhubung pemecatannya dan menafikan mencapai persetujuan bersama untuk mengakhiri kontraknya lebih awal.

Semalam Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengadakan sidang media tergempar berhubung isu pemecatan Datuk Misbun Sidek.

Misbun turut menyuarakan rasa terkilan, bahawa Norza yang memintanya membantu BAM ketika awal menjadi presiden, hanya menjawab panggilannya dengan menyatakan sedia maklum berhubung pemecatan selain mengucapkan selamat maju jaya kepada legenda badminton negara itu.