LEGENDA badminton negara, Datuk Misbun Sidek sedia membuka pintu hatinya untuk berkhidmat di luar negara, sekali gus melaksanakan misi melahirkan pemain nombor satu dunia keempat, dari negara lain.
Selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Misbun menerima beberapa tawaran awal, namun menolaknya kerana semangat patriotik dalam diri.
Bagaimanapun, selepas isunya bersama BAM semakin reda, namun tawaran demi tawaran terus datang sehingga membuatkan jurulatih berusia 63 tahun sedia membuat pertimbangan sewajarnya.
Tanpa mendedahkan butiran tawaran, difahamkan Thailand dan Singapura antara lima negara yang mahu mendapatkan sentuhan Misbun.
Menurut Misbun, beliau tidak pernah patah semangat mahu melahirkan pemain nombor satu dunia keempat menerusi air tangannya selepas Datuk Lee Chong Wei, Datuk Rashid Sidek dan Roslin Hashim.
Katanya, beliau mempertimbangkan tawaran yang diterimanya dengan serius kerana mahu berkongsi ilmu dan pengalaman yang dimilikinya kepada pemain.
“Memang hati saya untuk negara, tetapi kalau khidmat saya diperlukan oleh negara luar, mereka mahukan ideologi saya untuk membentuk pemain, apa salahnya?,” kata Misbun yang mengakui menerima tawaran melatih pemain senior.
Berkongsi mengenai tawaran yang datang itu, Misbun berkata, “Mereka mahu saya berikan sentuhan penyudah, mengajar pemain cara untuk memenangi perlawanan.
“Saya sendiri mahu mencari pemain nombor satu dunia keempat dan bersedia berhijrah jika potensi yang ada itu berada di luar negara.”
Misbun sebelum ini berhasrat membentuk Justin Hoh sehingga menjadi pemain nombor satu dunia, namun tidak tercapai selepas terpaksa meninggalkan badan induk badminton negara itu.
“Apa pun, saya belum buat keputusan kerana ia bergantung kepada beberapa syarat tertentu yang saya kemukakan, tetapi untuk buat masa sekarang, saya mahu berehat terlebih dahulu kerana sudah lama saya tidak berehat,” kata Misbun, dalam sidang media.
Sidang media itu dibuat bagi menjelaskan alasan mengapa beliau enggan kembali bersama BAM, “Saya tidak mahu mengganggu perancangan skuad remaja yang sedang melakukan persiapan ke Kejohanan Remaja Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS) bulan depan.