DATUK Misbun Sidek disahkan sudah menerima surat menerusi kiriman emel daripada Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai.

Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja kebangsaan itu bagaimanapun memerlukan masa untuk memperinci kandungan tawaran yang kemuka Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kembali menggalas tugas selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja negara.

Pengurus peribadinya, Nor Kamal Ahmad mengesahkan perkara itu dan mengakui bahawa surat dalam bentuk fizikal hanya akan diambilnya di pejabat BAM, Isnin depan.

“Saya dimaklumkan oleh Misbun yang beliau sudah menerima surat tawaran berkenaan menerusi emel yang oleh Michelle. Cuma, surat fizikal saya akan ambil nanti pada Isnin ini.

“Sekarang ini, Misbun masih lagi dalam tempoh bertenang dan meminta diberi masa bagi meneliti secara terperinci kandungan tawaran berkenaan.

“Terima atau sebaliknya, itu terserah kepada Misbun sendiri untuk menentukannya,” kata Kamal ketika dihubungi.

Sebelum ini, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memohon maaf kepada Misbun susulan kemelut yang melanda antara badan induk itu dengan jurulatih berkenaan berhubung penamatan kontraknya sambil menjelaskan ia disebabkan masalah komunikasi.

Beliau turut menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tanggungjawab di ABM sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Kamal tidak menolak kemungkinan satu pertemuan akan diatur antara Misbun dengan Norza.

“Setakat ini belum ada sebarang pengesahan tetapi apa yang akan berlaku selepas ini, saya tidak boleh jangka.

“Sekarang ini BAM pun menggunakan Michelle untuk berhubung dan saya pula mewakili Misbun. Saya fikir jika ada pertemuan antara Misbun dengan Norza ia sudah tentu lebih baik,” kata Kamal.