BEKAS Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Akademi Badminton Malaysia (ABM) tidak menyangka reaksi dingin daripada bekas bosnya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau mendedahkan mempunyai hubungan baik dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, berasa terkilan apabila panggilan telefonnya kepada Norza, sejurus selepas diberitahu tidak perlu lagi datang ke ABM, dibalas dengan ayat seolah-olah mengalu-alukan pemergiannya.

“Saya terkilan dengan tindakan Tan Sri Norza. Saya telefon dia dan menanyakan adakah dia tahu mengenai perkara ini (pemecatan), dia jawab ya… dan saya hanya mampu memberi jawapan terima kasih.

“Dia just wish good luck! Dulu masa dia nak saya, saya dijemput, dia pujuk beberapa kali untuk saya bantu BAM.

“Saya sendiri ke rumah dia untuk tandatangan kontrak, tapi apabila benda ni terjadi, bukan dia sendiri beritahu saya, saya dimaklumkan oleh Datuk V Subramaniam (Timbalan Presiden BAM),” kata Misbun terkilan.

Misbun Sidek terkilan dengan jawapan Mohamad Norza ketika beliau menghubungi melalui panggilan telefon.

Misbun berkata, penjelasannya hanya untuk menceritakan perkara sebenar yang berlaku dan tidak berhasrat memanjangkan isu dengan tindakan susulan lain.

Dalam pada itu, Misbun berkongsi pandangannya bahawa Justin Hoh berpotensi menggantikan legenda badminton Datuk Lee Chong Wei.

“Dia (Justin) adalah bakat terbaik yang saya ada ketika menjadi jurulatih dan dalam masa tiga tahun terus menjadi. Dia pemain yang mendengar (terima tunjuk ajar) dan mahu berjaya.

“Sebab itu dia cakap saya bagaikan bapanya. Dia tahu dan serahkan jiwa raga untuk menjadi pemain berjaya,” kata Misbun.

Justin, 19, pernah merangkul beberapa gelaran antaranya Kejohanan Antarabangsa Bonn 2022 di Jerman, Terbuka Croatia 2022 dan Cabaran Antarabangsa Uganda 2023.

Bukan sahaja menganggap Misbun sebagai bapa sendirinya, malah pemain ranking ke-67 dunia itu dalam satu hantaran di laman Instagram pada Ahad lepas, merasakan bekas pemain negara itu adalah jurulatih terbaik baginya.

Justin terpaksa berehat panjang selama enam bulan susulan kecederaan achilles tendon kiri yang dialami ketika menjalani latihan, April lepas.