KEKALAHAN saat akhir tempoh hari segera dilupakan para pemain Sabah FC menjelang pertembungan satu lagi lawan liat Liga Super, Terengganu FC di Stadium Likas pada Selasa.
Jurang perbezaan empat mata dengan Johor Darul Ta’zim boleh dikurangkan seandainya tiga mata berjaya dikutip anak buah Datuk Ong Kim Swee di hadapan penyokong setia The Rhinos untuk aksi ke-12 liga.
Stadium Likas yang menerima kira-kira hampir 25,000 penonton pada perlawanan lepas dijangka kembali dipenuhi untuk melihat kelibat pemain ternama seperti Dominic Tan, Saddil Ramdani , Park Tae-Soo serta kapten Baddrol Bakhtiar berjuang 90 minit lagi perlawanan.
Sabah yang pernah mengecapi nikmat bergelar juara Liga Perdana 1996 tidak keseorangan kerana sentiasa menerima sokongan pada ‘Pemain ke-12’ terutamanya dari North Borneo Ultras (NBU) yang sentiasa hadir setiap kali perlawanan diadakan.
Malahan, kelompok penyokong setia Sabah itu membakar kata-kata peransang sekali gus menghidupkan malam yang mempersonakan dalam stadium.
“Terima kasih! Terima kasih! Terima Kasih! Kepada semua fans yang hadir semasa perlawanan Sabah VS JDT, tiada apa yang membezakan kita.
“Kita semua pendukung utama pasukan negeri, cuma cara kita sampaikan sokongan itu sahaja berlainan. Tanpa kita siapa lagi mahu sokong Sabah FC kan?
“Terima kasih juga kepada yang join Corteo (perarakan masuk) dan Curva NBU. Mungkin ada yang kali pertama.
“Kami amat mengalu-alukan anda semua.
“Apapun misi belum selesai, kita ada lagi kunjungan Selasa ini, jumpa di stadium,” kata kenyataan itu.