PASUKAN Kuching City FC FA tetap optimis mampu memburu mata dalam saingan Liga Super ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Sabtu.
Keyakinan itu bersandarkan kepada keputusan terdahulu apabila ‘mengikat’ Kelantan FC 2-2 pada pertembungan, 21 Julai lalu.
Menurut pemangku ketua jurulatihnya, Firdaus Morshidi mereka sedar tugasan berat bakal menanti barisan anak buahnya yang akan dipertaruhkan dalam perlawanan tersebut.
“Kita turun sebagai pasukan underdog, apatah lagi berdepan pasukan KDA FC dibarisi pemain berpengalaman.
“Namun, saya tetap yakin dengan kemampuan para pemain. Jika mereka dapat menterjemah strategi yang akan diguna pakai dengan baik, tidak mustahil keputusan luar jangkaan boleh berlaku,” ujar Firdaus dalam kenyataan.
Tambah pengendali kelahiran Kampung Melayu Balai Ringin, Serian itu lagi, melihatkan kepada potensi para pemain, tidak mustahil untuk melakar kejutan ke atas pasukan pelawat.
Firdaus terus diberi kepercayaan mengemudi The Cats kerana masih belum mempunyai juragan sebenar selepas peletakan jawatan Irfan Bakti Abu Salim dua minggu lepas.
Desas-desus mengatakan jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak akan mengemudi Kuching City FC namun belum diputuskan lagi.
Seperti laporan Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan, saat ini kelab berkenan sedang mengadakan perbincangan dengan bekas pengendali kelab dari Liga 1 Indonesia, Persikabo FC dan KDA FC itu.