KETUA Pegawai Eksekutif Gombak FC, Akmal Halim mahu pasukan baharu ini untuk lebih memfokuskan persiapan terakhir sebelum sepak mula saingan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship 2024-25 selepas selesai majlis pelancaran jersi pada Ahad.

Gombak FC ketika ini meletakkan harapan kepada ketua jurulatih – Shahrom Kalam dan dibantu Fadhil Hashim dengan mereka akan menamatkan siri pramusim pada 28 Mei 2024 ini dengan satu perlawanan persahabatan terakhir bertemu pasukan utama PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

“Melihat kesungguhan pemain dalam beberapa siri perlawanan pramusim akan memberikan keyakinan kepada Gombak FC untuk layak ke Piala Malaysia tahun ini.

“Kita yakin dengan komitmen pemain disetiap latihan dan perlawanan memberikan kita banyak kelebihan namun diakui juga kita mempunyai beberapa kelemahan yang telah dibaiki oleh barisan jurulatih muda kita ketika ini,” katanya.

Untuk rekod Gombak FC telah menjalani 11 perlawanan persahabatan pramusim dengan mencatat enam kemenangan, satu keputusan seri dan empat kekalahan menjadikan pasukan ini antara yang aktif dalam persediaan pasukan.

Gombak FC adalah antara pasukan baru yang layak ke Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-25 selain empat lagi pasukan beserta 10 pasukan sedia ada untuk bersaing dalam liga musim ini.