MISI hidup mati perjuangan skuad Harimau Malaya di pentas pusingan akhir Piala Asia 2023 bermula dengan bertemu Jordan pada aksi pembukaan Kumpulan E, 16 Januari ini.

Berita kemenangan mengejut Jordan ke atas juara bertahan, Qatar semasa perlawanan pemanas badan kelmarin menamatkan rentetan tujuh kekalahan dipandang serius anak buah Kim Pan-gon.

Perkembangan ini juga segera menarik perhatian pemain tengah Malaysia, Paulo Josue yang melihat pasukannya tak boleh terlalu yakin kerana berada dalam kedudukan paling bawah berdasarkan ranking dunia.

“Jadi kita hanya perlu fokus dan melakukan tugas kita. Jika pihak lawan tidak melakukan yang terbaik, kami pasti kami akan mengejutkan mereka.

“Anda boleh lihat, sudah tentu kami mahu memenangi permainan.  Kami di sini untuk bekerja dan cuba memenangi permainan.

“Tetapi seperti yang saya katakan, mereka adalah pasukan yang sangat sukar. Kedudukan mereka sangat tinggi jika anda bandingkan dengan diri kami sendiri, dan sudah tentu jika anda tidak tewas pada perlawanan pertama ini dan kami berjaya mengutip beberapa mata menentang Bahrain, saya rasa kami mempunyai peluang untuk layak,” katanya kepada FLASH SUKAN di hotel penginapan pemain Harimau Malaya di Doha, Qatar pada Ahad.

Mengulas lanjut, tonggak Kuala Lumpur FC itu mahu rakan sepasukan perlu memikirkan tentang aksi berdepan Jordan terlebih dahulu.

Ujarnya lagi, Malaysia mempunyai peluang untuk memenangi permainan itu dan segalanya akan menjadi lebih baik.

“Akan ada peluang untuk kita layak.  Itu adalah kedudukan ketiga terbaik untuk pusingan seterusnya. Anda juga perlu memikirkannya, mungkin tiga mata, layak, mungkin empat mata, layak.

“Jadi kita perlu memikirkan berapa banyak mata yang perlu anda ambil untuk ke pusingan seterusnya,” katanya lagi.

Sementara itu, Paulo Josue menyifatkan satu penghormatan besar pemain negara berada di pentas tertinggi bola sepak Asia yang diibaratkan sebagai ‘Mini Piala Dunia’.

Untuk rekod, Josue telah membuat lapan penampilan untuk Harimau Malaya sejak membuat penampilan sulung pada Mac tahun lalu dan sudah empat kali menjaringkan gol.

“Itulah yang menggembirakan saya, satu penghormatan besar untuk berada di sini.  Itulah kejohanan yang ditonton oleh seluruh umur.

“Jadi pemain dari Eropah, mereka datang sekarang, pemain dari Liga Perdana, kita mungkin berdepan beberapa pemain Liga Perdana semasa menentang Korea.  Jadi itu adalah satu keistimewaan besar untuk kami berada di sini.

“Saya berharap bahawa pada masa hadapan Malaysia terus datang dan membawa beberapa keputusan yang lebih baik dan membangunkan bola sepak yang lebih baik di sana,” katanya.