PADA Isnin malam  menjadi satu misi hidup mati buat pasukan kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) untuk meneruskan perjuangan dalam kempen Sukan SEA 2023 menjelang pertemuan menentang Vietnam B-22.

Tiga mata amat ditagih oleh skuad kendalian E. Elavarasan ketika mereka bakal berentap dengan salah satu pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan bola sepak kali ini di Stadium Prince, Phnom Penh.

Nampak sukar tetapi ia bukan satu perkara yang mustahil.

Cuma selepas menyaksikan dua perlawanan skuad muda negara, lensa penulis seakan-akan melihat pasukan B-22 tampak sedikit kurang agresif dan terlalu menghormati pihak lawan.

Mungkin tidak keterlaluan untuk penulis mengatakan bahawa pasukan negara bagaikan ‘kapal tanpa kapten’ ketika tewas 0-2 kepada Thailand B-22 baru-baru ini.

Sebelum itu, penulis tidak mahu menafikan kepimpinan ketua pasukan ketika itu, Azam Azmi Murad yang sentiasa memberikan segalanya kepada negara.

Cuma itulah yang terbuku di hati penulis dan menganggap seseorang karakter yang kuat perlu membimbing rakan-rakan pasukan ketika sedang berjuang.

Mungkin kegagahan kapten, Mukhairi Ajmal perlu dijelmakan semula di atas padang dan mungkin Harith Haiqal Adam Afkar perlu bergandingan dengan Zikri Khalili.

Begitu juga sentuhan penyudah yang perlu ditagih seperti Syahir Bashah, Haqimi Rosli dan lain-lain kerana malam ini adalah penentu pasukan negara.

Dalam hati, penulis masih kekal optimis bahawa pasukan B-22 negara mampu menundukkan Vietnam B-22.

Bukan apa, penulis sangat percaya kekalahan kepada Thailand B-22 telah membuka mata adik-adik kita dan penulis yakin mereka akan tampil lebih agresif ketika bertemu Vietnam B-22 nanti.

Pasukan ini memerlukan bukan seorang tetapi dua kapten di atas padang dan jelas komunikasi sesama mereka bakal menjadi salah satu elemen yang bakal memenangkan mereka pada perlawanan malam esok.

Akhir kata daripada penulis, kalah di pusingan separuh akhir adalah lebih sakit daripada di peringkat kumpulan dan penulis percaya malam ini adalah titik kebangkitan skuad muda negara.

Demi lencana di dada!