FOTO : KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC menghantar amaran betapa mereka juga mampu menjadi pencabar dalam perebutan kelompok atasan Liga Super selepas segar membelasah Kelantan FC di Alor Setar tempoh hari.

Bagaikan mendapat tonik, kunjungan ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukan sekadar pelengkap permainan, sebaliknya Kedah ingin tiga mata di halaman lawan.

Faktor kehadiran ‘Pemain Ke-12’ bakal menambah bisa anak buah Nafuzi Zain dalam usaha menyambung rentak kemenangan positif walaupun sedar tuan rumah bukanlah pesaing yang mudah untuk ditumbangkan.

Seperti kata pemain pertahanan Kedah, Ariff Farhan Md Isa, dia dapat merasakan aura luar biasa bakal dijelmakan para penyokong Hijau Kuning untuk memenuhi segenap penjuru bangku penonton.

“Saya rasa walaupun main dekat away tapi kita punya penyokong dekat sana masih ramai. Saya dapat rasakan walaupun main di Lembah Klang, namun saya yakin penyokong pasukan Kedah akan mai bagi penuh serta bagi sokongan dan semangat kat kami,” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil.

 

Rekod 221 pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan Selangor lebih unggul meraih 58 kemenangan berbanding KDA FC yang mencatat 34 kemenangan. Manakala, 29 perlawanan yang lain berakhir keputusan seri.

Sementara itu, sebanyak 267 gol terhasil sepanjang pertembungan antara Selangor dan Kedah.

Di kem Merah Kuning, gandingan Tan Cheng Hoe dan Ramon Marcote tidak asing lagi untuk sebahagian pemain Sang Kenari kerana pernah ‘berguru’ bersama dan saling mengenali.

Marcote sebelum ini pernah bekerjasama dengan Cheng Hoe di Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015 dan nama beliau amat sinonim dalam kalangan peminat pasukan skuad Kenari.

Sorakan Ultras Selangor cukup berdisiplin dan padu serta nadi pasukan Merah Kuning sebagai ‘Pemain ke-12’.

Namun, 90 minit pada malam esok kesemua para pemain dan pengurusan bakal menjadi perseteruan dan kembali bermusuhan atas padang demi mewakili majikan masing-masing.

Untuk rekod, Selangor pernah mengecewakan lawan yang sama dalam penentuan ke final Piala Harapan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang awal Februari tahun ini.

Selangor yang terus ‘laparkan’ kemenangan boleh menjarakkan diri seandainya merakam kejayaan tiga mata penuh, namun kedudukan kedua yang dihuni sekarang boleh terjejas jika tewas. Selangor yang mengumpul 25 mata juga berisiko di pintas Kedah serta pasukan Sri Pahang FC sekiranya berjaya mengejutkan pendahulu semasa, Johor Darul Ta’zim di Iskandar Puteri.