MELOMBOL kekal menjadi sasaran utama buat gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam untuk layak beraksi di Olimpik Paris 2024.

Atlet gimnastik artistik negara yang memenangi pingat gangsa melombol di Sukan Asia Hangzhou, Oktober lalu berkata, dia sama sekali tidak akan bertanding dalam acara all event kerana peluangnya terlalu sukar.

Justeru, empat kejohanan dunia bermula Februari hingga April 2024, menjadi gelanggang terakhir buatnya mendapatkan slot ke Paris.

“Saya akan bermain dalam tiga acara di empat kejohanan dunia nanti iaitu melombol, kekuda berpelana dan senaman lantai.

“Sudah tentu sasaran utama adalah melombol, tetapi jika gagal layak dalam melombol, saya sasarkan senaman  lantai,” kata Sharul Aimy.

Kalendar Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik sepanjang 2024.

Gimnas berasal dari Terengganu itu akan menyertai Kejohanan Dunia di Kaherah, Mesir (15-18 Februari), Cottbus, Jerman (22-25 Februari), Baku, Azerbaijan (7-10 Mac) dan Doha, Qatar (17-20 April) dalam usaha melayakkan diri ke Paris.

Begitupun, tidak mudah buatnya kerana perlu memenangi pingat dengan dua tempat teratas pada keempat-empat Kejohanan Dunia terbabit.

Pada mesyuarat jawatankuasa kerja sukan (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini, Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Francis Lau mengesahkan Sharul Aimy bakal menerima tunjuk ajar daripada lageda Jepun, Kohei Uchimura sebagai persediaan.

Khidmat juara tiga kali Olimpik itu, akan diperoleh  Sharul Aimy  ketika dia menjalani latihan di Jepun selama enam minggu bermula awal tahun depan.