KONTINJEN Terengganu akan memulakan persiapan awal bagi merampas semula gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) pada edisi berikutnya, dua tahun lagi.
EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, 10 jenis sukan dikenalpasti sebagai sangat cemerlang setelah berjaya memenangi pingat emas melebihi sasaran.
Antaranya sukan pelayaran (7 pingat emas), kenu (5), pencak silat (5), tinju (4), angkat berat (4), ginnastik artistik (3), tenis (2), karate (2), sepak takraw (2) dan bola sepak.
“Tujuh jenis sukan lagi turut diklasifikasi sebagai cemerlang apabila mencapai sasaran pingat iaitu sukan boling padang, memanah, muay thai, olahraga, akuatik, wushu dan petanque.
“Atlet-atlet sukan terbabit akan dipastikan dapat mengekalkan momentum dan prestasi mereka agar terus menyumbang pingat emas pada Sukma 2024.
“Majlis Sukan Negeri (MSNT) akan segera membuat ‘post mortem’ dan merangka program latihan kerana tempoh dua tahun lagi sudah tidak lama,” jelasnya kepada FLASH SUKANdi sini pada Rabu.
Tambah Wan Sukairi, beberapa jenis sukan yang dianggap ‘kelas sederhana’ akan ditingkatkan prestasinya untuk meraih keputusan lebih baik pada edisi berikunya.
Antara jenis-jenis sukan terbabit adalah sukan berbasikal, sukan elektronik, judo, tenpin bowling, badminton, bola jaring, golf, hoki, ragbi, menembak dan skuasy.
Jelasnya, secara keseluruhan pungutan 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa baru-baru ini adalah pencapaian terbaik pernah diraih negeri itu dalam sejarah penyertaan Sukma.
Katanya, walaupun terpaksa akur di tempat kedua keseluruhan, prestasi kontinjen Terengganu cukup baik dan berada di landasan tepat untuk bangkit pada 2024.