PASANGAN beregu lelaki remaja nombor 1 dunia, Aaron Tai-Kang Khai Xing dan juara Sukan Malaysia (Sukma) 2024, Faiq Haziq Masawi-Lok Hong Quan mengetuai cabaran pemain lelaki negara pada Kejohanan Remaja Dunia di China hujung bulan ini.

Keempat-empat pemain berada dalam perancangan kejurulatihan, untuk beraksi dalam dua acara dalam usaha membantu pasukan campuran negara untuk sekurang-kurangnya mara ke final.

Menurut kenyataan dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Aaron-Khai Xing diberitanggungjawab untuk beraksi dalam acara beregu lelaki dan campuran, manakala Faiq akan beraksi dalam acara perseorangan lelaki, akan turut berpasangan dengan Hong Quan dalam beregu lelaki.

Turut beraksi dalam dua acara, Datu Anif Datu Asrah iaitu dalam beregu lelaki dan campuran.

BAM turut mengumumkan empat pemain wanita akan beraksi dalam dua acara bagi kategori berpasukan campuran, iaitu Dania Sofea Zaidi (perseorangan wanita, beregu campuran), Ong Xin Yee (perseorangan wanita, beregu wanita) manakala Noraqilah Ramdan dan Carmen pula dalam acara beregu wanita dan beregu campuran.

Manakala empat pemain, iaitu Faiq, Xin Yee, Dania Sofea dan Noraqilah turut dijadual bermain dalam dua acara bagi kategori indvidu.

Kejohanan Remaja Dunia 2024 yang berlangsung di Nanchang, China, 30 September hingga 13 Oktober ini, bakal memperkenalkan format baharu pertandingan dari segi kiraan mata dan juga format berpasukan.

Pemain akan bermain mengikut kiraan 11 mata sahaja, manakala format berpasukan campuran pula melibatkan 10 perlawanan iaitu masing-masing dua acara bagi perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Penyandang Presiden BAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja skuad remaja, Datuk V Subramaniam berkata, pemain dipilih kali ini terdiri daripada mereka yang terbaik yang ada dalam negara ketika ini.

“Jawatankuasa Kerja memantau arpat perkembangan pemain yang dipilih sejak dua bulan lalu, baik dalam latihan mahupun kejohanan.

“kami telah berbincang bersama Pasukan Kejurulatihan Remaja yang diketuai Jeffer Rosobin sebelum memutuskan barisan pemain termasuk pemain wanita termuda, Low Zi Yu yang hanya berusia 14 tahun,” kata Subramaniam.

Untuk rekod, pada kejohanan tahun lalu, skuad remaja negara berjaya meraih tiga gangsa di Spokane, Washington, Amerika Syarikat menerusi acara berpasukan campuran, beregu lelaki dan beregu campuran.

Kali terakhir negara melahirkan juara perseorangan wanita adalah pada edisi 2018 menerusi Goh Jin Wei manakala perseorangan lelaki pada 2011 menerusi Zulfadli Zulkifli.

Kali terakhir beregu lelaki negara membawa pulang gelaran pula pada 2011 menerusi gandingan Nelson Heg-Teo Ee Yi sementara beregu campuran menerusi Lim Khim Wah-Ng Hui Lin pada 2007 dan tidak pernah memenangi gelaran beregu wanita.