MISI untuk memburu tiga mata sekaligus membuka peluang layak ke peringkat separuh akhir Piala Wanita Asean 2024 bermula buat skuad Malayan Tigress apabila berhadapan Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B hari ini.
Skuad kendalian Soleen Al-Zoubi itu mempunyai peluang terbaik untuk layak sekiranya mencatatkan kemenangan selepas Indonesia dan Kemboja terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama dan tiga mata akan menjamin tempat Malaysia ke separuh akhir.
Soleen nyata yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya yang semakin matang dalam permainan selepas mempunyai minit permainan yang banyak sejak Liga Wanita Nasional diperkenalkan.
“Kami telah melakukan persiapan yang rapi dengan mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ini termasuk pemain-pemain yang bermain secara kerap bersama kelab dan saya percaya pasukan sudah bersedia.
“Atas sebab ini, saya percaya pasukan ini mampu membawa pulang trofi kejohanan sekaligus layak ke Kejohanan AFF Wanita tahun hadapan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Vientiane, Laos.
Perkara yang sama turut disuarakan oleh kapten pasukan, Steffi Sidhu yang percaya dia dan rakan-rakan sepasukan sudah bersedia untuk beraksi dan senada dengan sasaran yang diletakkan oleh ketua jurulatih untuk muncul juara.
“Bagi pemain, kami semua sudah bersedia dan fokus kerana kami mempunyai misi yang besar dalam kejohanan ini dan harap kami dapat lakukan yang terbaik buat Malaysia.
“Meskipun berhadapan beberapa cabaran, tetapi kami kekal fokus dan seperti apa yang dikatakan oleh jurulatih, kami mahu membawa pulang trofi ini ke Malaysia,” katanya.
Kemenangan akan menjamin sekurang-kurangnya satu slot buat Malaysia ke separuh akhir di mana hanya tiga pasukan terbaik akan layak ke Kejohanan AFF Wanita 2025.