EDISI ke-19 Kejohanan Karate Asia bakal menyajikan aksi yang bertenaga dan memukau para peminat sukan Karate yang akan berlangsung di Pusat Perdagangan Melaka (MITC), Ayer Keroh bermula 21 Julai sehingga 23 Julai depan.
Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dipilih sebagai venue yang bakal menyaksikan medan pertempuran bagi atlet-atlet Karate terbaik di Asia bertempur merebut kejuaraan serta mengukuhkan dominasi negara masing-masing dalam sukan Karate menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou ke-19 di China.
Kejohanan Karate Asia ke-19 yang mempertandingkan sejumlah 17 kategori secara keseluruhan iaitu 11 kategori individu lelaki dan wanita dalam acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing dan 6 kategori berpasukan Kata dan Kumite lelaki dan wanita.
Dalam edisi yang lepas, seramai 700 atlet daripada 28 buah negara telah mengambil bahagian yang menyaksikan Uzbekistan sebagai tuan rumah kejohanan, Disember 2022.
Jepun yang mengungguli pungutan pingat keseluruhan sebanyak 13 pingat (8 emas, 2 perak, 3 gangsa) bagi edisi kejohanan yang lepas juga mengesahkan penyertaan mereka dengan menghantar seramai 23 atlet Karate bagi kejohanan di MITC, Ayer Keroh, Melaka. Mengikuti rapat persaingan edisi lepas, skuad Karate daripada Jordan mempertaruhkan seramai 11 atlet dan Kazakhstan dengan seramai 19 atlet Karate.
Antara atlet Karate yang bakal menjadi tumpuan adalah Kakeru Nishiyama (Jepun), Assel Kanay (Kazakhstan) dan Abdel Rahman Almasatfa (Jordan) akan membuat penampilan mereka di MITC, Ayer Keroh, Melaka bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lepas dalam acara masing-masing.
Dalam pada itu, Kejohanan Karate Para Asia edisi ke-2 juga akan berlangsung serentak dengan Kejohanan Karate Asia ke-19 bagi memastikan atlet Para menerima tumpuan yang sama ketika kejohanan itu nanti.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad menzahirkan penghargaan serta ribuan terima kasih kepada Persekutuan Karate Asia (AKF) dan Persekutuan Karate Dunia (WKF) di atas kepercayaan yang diberikan bagi menganjurkan Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Para ke-2 di MITC, Ayer Keroh, Melaka.
“Makaf amat menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak AKF dan WKF bagi penganjuran kali ini diadakan di Melaka. Bagi pihak Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) serta penganjur bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengalu-alukan kehadiran peminat sukan Karate terutamanya dan orang ramai ke MITC, Ayer Keroh, Melaka menyaksikan persaingan sengit atlet-atlet Karate Asia berentap merebut kejuaraan”.
Nur Azmi juga menjanjikan penganjuran berkelas dunia akan dipersiapkan di Kejohanan Karate Asia ke-19 sekaligus menjadikan kejohanan di Melaka sebagai penanda aras bagi penganjuran Kejohanan Karate Dunia di Budapest, Hungary, Oktober nanti.
“Penganjuran kali ini bukan sahaja akan mendatangkan keterujaan dan persaingan yang hebat di antara atlet-atlet dan pasukan dari pelbagai negara Asia malah akan menjadi sebuah platform mempromosikan budaya, warisan dan semangat kesukanan dalam kalangan peminat dan negara yang bertanding,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Kejohanan Para Asia edisi ke-2, sila layari laman sesawang rasmi kejohanan.