PERSEKUTUAN Bola Sepak ASEAN hari ini mengumumkan syarikat pembuatan peralatan Jepun, Mitsubishi Electric sebagai penaja rasmi kejohanan bola sepak Piala AFF 2022.

Dijadualkan bermula pada Disember depan, edisi ke-14 kejohanan paling berprestij di rantau itu kini dikenali sebagai Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Diuruskan oleh SPORTFIVE dan disokong oleh Dentsu, kejohanan dwitahunan ini
akan menjadi lembaran baharu buat Mitsubishi Electric memeriahkan kehangatan bola sepak di ASEAN.

Eksekutif Korporat dan Ketua Perwakilan Wilayah Asia Pasifik, Mitsubishi Electric Corporation, Kunihiko Seki berkata, dunia kembali dibuka selepas dua tahun yang sukar dan pihaknya teruja menjadi penaja Kejuaraan AFF dan menyokong sepenuhnya visi AFF berada pada tahap tertinggi.

“Selama lebih 50 tahun, Mitsubishi Electric telah membekalkan pelbagai produk, daripada elektronik rumah kepada peralatan perindustrian dan komersial, ke rantau Asia Pasifik.

“Hari ini, kami terus berusaha ke arah matlamat kami untuk menyumbang kepada masyarakat dengan merealisasikan persekitaran global yang mampan. Kami tidak sabar untuk membina masa depan yang lebih baik bersama-sama dengan AFF.

“Kami berharap kami dapat membawa keseronokan dan kegembiraan kepada ramai orang melalui penajaan ini,” katanya.

Turut hadir, Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN, Mejar Jeneral Khiev Sameth dan Pengarah Urusan Asia Tenggara, SPORTFIVE, Malcolm Thorpe.

Pada edisi 2020, lebih 260 juta tontonan siaran langsung di televisyen dan media sosial ketika Thailand dinobatkan gelaran keenam menewaskan Indonesia di final, dan capaian lebih 657 juta hingga 2 bilion jumlah tayangan.

Sementara itu,Mitsubishi Electric turut mendapat hak untuk mempersembahkan Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP).