ENAM pasukan teratas Mobile Legends Bang Bang (MLBB) berjaya mengunci slot ke peringkat Playoff Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia Musim Ke-14, yang akan berlangsung di Johor pada 31 Oktober hingga 3 November ini. 

Hanya berbaki seminggu sahaja lagi, setiap pasukan kini berusaha keras mengejar kedudukan untuk mendapatkan kelebihan dalam bracket playoff.

Keputusan minggu akhir ini bukan sahaja akan menentukan kedudukan mereka di playoff, tetapi juga masa depan beberapa pasukan yang berada di kedudukan bawah, yang bakal menghadapi perlawanan sengit untuk mengelakkan penyingkiran daripada liga.

Pada penghujung minggu kelima, enam pasukan telah berjaya mengunci tempat mereka ke peringkat playoff. Pasukan-pasukan tersebut ialah Selangor Red Giants (SRG), Team Vamos, RED Esport, Monster Vicious, JP Niners, dan Todak. 

Keenam-enam pasukan ini bersedia bertarung dalam playoff di Johor, yang dikenali sebagai Southern Festival.

Selain bersaing untuk hadiah wang tunai, mereka juga merebut dua slot ke Kejuaraan Dunia M6, kejohanan antarabangsa MLBB paling berprestij yang akan berlangsung di Malaysia buat kali pertama tahun ini.

KRAMM (tengah) tersenyum lebar selepas bergelar MVP dalam perlawanan ke atas JP NINERS. FOTO | MPL MALAYSIA

Dengan perlawanan playoff yang semakin hampir, tumpuan kini tertumpu kepada pasukan yang bakal dinobatkan sebagai juara MPL Malaysia Musim Ke-14, sekaligus membawa nama negara ke pentas dunia.

Saingan sengit dan permainan penuh aksi dijangka mewarnai pentas Southern Festival di Johor, menjadikan playoff kali ini antara acara e-sukan paling dinantikan tahun ini.