MAJOR League Soccer (MLS) telah mencatatkan rekod baharu dengan lebih daripada 11 juta penyokong hadir sepanjang musim ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh liga tersebut pada hari Isnin.

Rekod ini sekaligus memecahkan pencapaian sebelumnya iaitu 10.9 juta penyokong yang hadir ke perlawanan MLS pada tahun 2024.

Dengan purata kehadiran seramai 23,240 penyokong bagi setiap perlawanan, MLS buat pertama kali dalam sejarah berjaya menarik lebih daripada 11 juta peminat ke stadium.

 

Antara faktor utama yang membantu meningkatkan kehadiran adalah penambahan bintang-bintang antarabangsa seperti Lionel Messi, yang sering menyebabkan pasukan menukar venue ke stadium yang lebih besar.

“Kehadiran bintang antarabangsa seperti Messi benar-benar memberikan impak yang signifikan kepada kehadiran penyokong, terutamanya apabila stadium yang lebih besar digunakan untuk menampung permintaan tiket.

“Kami melihat lonjakan besar dalam sokongan daripada peminat sejak kebelakangan ini dengan kehadiran bintang-bintang antarabangsa.

“Selain itu, usaha kelab-kelab untuk mencipta pakej tiket yang lebih mesra penyokong menjadi antara faktor utama di sebalik rekod ini,” kata seorang wakil liga dalam kenyataan tersebut.

Seorang penyokong cilik yang berlari ke padang untuk bertemu Lionel Messi. FOTO | AFP

Walaupun masih ada 16 perlawanan yang akan dimainkan sebelum musim berakhir pada 19 Oktober, jumlah ini telah mencatatkan sejarah baru buat MLS.

Dengan kejayaan ini, MLS semakin mengukuhkan kedudukannya dalam kancah bola sepak global, serta terus menarik minat penyokong dari pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia.